Monday 27 March 2017

Harakah: Dr. Mahathir Trojan Horse?


Lidah rasmi PAS, Harakah Daily hari ini menyiarkan artikel bertajuk 'Mungkinkah Tun Mahathir satu Trojan Horse?' hasil nukilan Ahmad Amzad Hashim yang mempersoalkan penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pakatan pembangkang.

Penulis artikel itu seolah-olah cuba untuk mengaitkan bekas perdana menteri itu dengan muslihat perang Spartan yang cukup terkenal - 'Trojan Horse'.

"Trojan Horse dibina dari serpihan kapal Sparta, musuh Troy. Ia begitu hebat dan pemimpin Troy merasa kagum, lalu dibawa masuk ke dalam kota Troy dengan penuh keraian. Rupa-rupanya ia strategi penyusupan Sparta bagi memusnahkan Troy dari dalam.

"Kepada yang memerhati, Mahathir sedang jadi batu api melagakan penyokong pembangkang dengan PAS, meneruskan usaha memperlekehkan PAS yang telah dibuatnya sejak dalam Umno lagi. Misinya gagalkan PAS. Kerana hanya PAS ancaman sebenar Umno. Rebah Umno, rebahlah BN.

"Beliau sudah meneutralkan gelombang "reformasi Anwar" dengan meletakkan dirinya sendiri sebagai idola baru pakatan pembangkang. Beliau telah secara terbuka minta PH jadikan BN sebagai contoh ikutan," jelas penulis dalam artikel tersebut.

Dua hari yang lalu, Mahathir menyifatkan PAS sebagai keliru dengan pendiriannya untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang 'kurang memiliki karisma'.

"Saya merasa PAS cukup banyak keliru, seperti yang saya katakan baru-baru ini.

"Kadang-kala ia seolah-olah mereka berminat menyertai kami (Pakatan Harapan) tetapi masa yang lain, tidak.

"Mereka (PAS) minta kami menganjurkan perjumpaan bersama tetapi apabila kita menetapkan tarikh, mereka kata mereka tidak minta untuk itu, sehingga tidak ada penyelarasan yang betul dalam PAS," lapor New Straits Times.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad dalam artikelnya itu berkata, Datuk Zaid Ibrahim yang disifatkan sebagai orang kepercayaan Mahathir menulis artikel mengenai PAS yang dikatakan bakal musnahkan BN tanpa sedar yang membayangkan keresahan dan seruan kepada pencinta BN supaya selamatkan BN.

"Beliau minta guna satu logo dalam pilihan raya untuk Pakatan Harapan. Sedangkan untuk membolehkan rakyat kenal dan biasa dengan satu satu logo memakan masa bertahun-tahun. Ia akan mengelirukan rakyat lebih jauh lagi sedangkan PRU14 boleh berlaku bila-bila masa dan tidak lewat setahun dari sekarang.

"Beliau minta tukar nama Pakatan Harapan kepada Barisan Rakyat. Sekali lagi pertukaran nama adalah beban baru penerimaan rakyat dan strategi halus. Seperti Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan disebut secara mudah sebagai "Pakatan". Kecenderungan orang menyebut secara mudah "Barisan" hanya menguntungkan BN," kata penulis lagi.

Terbaru, jelasnya, Mahathir menuntut partinya menjadi ketua Pakatan Harapan pula.

"Adalah munasabah untuk berjaga-jaga jika mereka sedang meraikan Trojan Horse yang punya agenda menghancurkan Troy.

"Jangan lupa Achilles pahlawan terbilang Sparta yang bersama dalam Trojan Horse itu juga bukan kepalang benci dan permusuhannya kepada Raja Sparta ketika itu. Tetapi tetap tindakannya memenangkan Sparta.

"PAS lebih kenal Mahathir dengan segala dramanya sejak dulu. Drama 'pergaduhannya' dengan Nazri Aziz, ini bukan benda baru. Mereka mesra sejak dulu," kata Ahmad Amzad lagi.








PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP