Akauntan Andrew Heng, yang dilantik oleh Shahnaz A Majid, hari ini menyemak semula angka nilai aset milik Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib yang dikemukakannya kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, daripada RM1.334 bilion kepada RM1.395 bilion.
Ini berikutan penambahan dua lagi aset, sebuah kereta Audi dan pegangan Bekir di Titanium Tower di Brighton Square, Kuching.
"Berikutan ini, saya ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa saya menyemak semula angka yang saya berikan di mahkamah sebelum ini - antara RM916 juta hingga RM1.334 bilion, kepada RM976 juta hingga RM1.395 bilion," katanya.
Menurutnya, jumlah itu adalah berdasarkan kepada pemegangan saham
Bekir dalam 49 syarikat, harta pusaka dari arwah ibunya, tetapi kini termasuk kenderaan Audi melalui Ivycraft Sdn Bhd, di mana beliau mempunyai 50 peratus pegangan, dan juga Titanium Tower.
Heng memberitahu demikian dalam dalam jawapannya kepada soalan peguam Akbardin Abdul Kader.
Sebelum ini, Heng berkata kenderaan Audi dan pegangan Bekir dalam Titanium Tower tidak diambil kira.
Bekir mempunya pegangan dalam Titanium Management Sdn Bhd, Titanium Engineering Sdn Bhd dan Titanium Project Management Sdn Bhd, yang beroperasi dari Titanium Tower.
Penemuan baru Heng itu dibuat berikutan penyediaan dokumen yang dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan tersebut.
Dalam prosiding lalu, saksi itu memberi keterangan bahawa tanah kelapa sawit - yang melebihi 24,000 hektar - bernilai antara RM636 juta dan RM1.055 bilion.
Heng, rakan kongsi dalam firma perakaunan bertauliah, Baker Tilly, memberi keterangan dalam kes tuntutan mutaah RM100 juta yang difailkan oleh Shahnaz berikut perceraiannya dengan anak Ketua Menteri Sarawak itu.
Shahnaz adalah kakak kepada ratu jazz Sheila A Majid.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment