Thursday, 6 February 2014

Tawaran tampar Teresa Kok dinaikkan sehingga RM1,200

Penunjuk perasaan menunjukkan bunting yang memaparkan gambar Teresa Kok dengan ganjaran sebanyak RM500 kepada sesiapa sahaja yang berjaya menamparnya semasa demontrasi terhadap penghinaan kepada kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong dan Islam oleh pemimpin DAP dan PKR di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider


Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia berkata, tawaran bagi menampar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok kini dinaikkan daripada RM500 ke RM1,200 kerana pemimpin DAP itu dikatakan kurang ajar dan mencabar kedudukan orang Melayu.

Menurut Seketariat Majlis Permuafakatan Ummah Malaysia Zulkfli Sharif, tawaran dibuat itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia agar penghinaan yang seringkali dibuat Kok menerima pembalasan.

"Tawaran ini terbuka kepada semua. Maksudnya, siapa sahaja yang dapat menampar Teresa Kok dengan disertakan gambar sebagai bukti, kita akan beri ganjaran sebanyak RM1,200," kata Zulkifli kepada The Malaysian Insider apabila dihubungi di Kuala Lumpur.

"Pada mulanya memang kita hanya tawarkan RM500, namun ganjaran itu dinaikkan sebanyak RM1200 hasil sumbangan ahli kita."

Beliau juga tidak menolak kemungkinan jumlah ganjaran tersebut akan meningkat sekiranya ada lagi individu menampilkan diri memberi sumbangan.

Tambahnya, gerakan itu juga tidak menetapkan sebarang tarikh tamat kepada peserta yang ingin menyertai pertandingan tersebut.

"Kita tidak ada tarikh tamat, bila-bila masa sahaja sehingga isu ini reda dan bagi siapa yang berjaya mendapatkan gambar bukti tampar pemimpin tersebut maka boleh hantar ke pejabat kita," katanya.

Terdahulu kira-kira 50 individu menggelarkan diri mereka “Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia” bertindak menyembelih dua ekor ayam dan melumur darahnya pada kain rentang yang tertera gambar pemimpin Cina DAP dan PKR sebagai bantahan terhadap penghinaan pemimpin berkenaan kepada majoriti masyarakat Melayu beragama Islam.

Pemimpin yang wajahnya terdapat pada kain rentang itu adalah Kok, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk Lee Khai Loon dari PKR.

Perhimpunan yang dinamakan "Bantahan penghinaan terhadap kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan agama Islam serta maruah Melayu” oleh segelintir ahli politik yang didakwa cauvinis Cina diadakan berhampiran Jalan Tun Perak berdekatan Puduraya, Kuala Lumpur petang ini.

Antara sepanduk yang dinaikkan adalah gambar wajah Kok berbadan ayam selain tulisan berbunyi "Reward atau ganjaran RM500, menghina Islam, azan sembahyang, mencaci Melayu (Melayu sial) tampar dan amik gambar sebagai bukti siapa cepat dia dapat hanya seorang pemenang sahaja."

Setiausaha Agung Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia itu berkata, tindakan mereka itu juga turut disokong kaum Cina lain yang menentang perbuatan pemimpin DAP itu.

"Beliau ialah rakan kita Sunny Goh iaitu Pengerusi Perhubungan Hal Ehwal Masyarakat Cina bagi Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib). Beliau juga tidak suka dengan perbuatan pemimpin pembangkang yang sebangsa dengannya," katanya.

Zulkifli berkata lagi, beliau tidak takut sekiranya Kok membuat laporan polis ke atas pertubuhannya sambil menggesa pihak berkuasa juga mengambil tindakan ke atas perbuatan biadap ahli parlimen itu.

"Kita serius dengan tawaran ini, tidak main-main. Ini adalah akibat kerana mulut celupar beliau. Kita mahu beri amaran supaya kelak ahli parlimen itu lebih berhati-hati dalam perbuatannya dan polis kena siasat betul jangan kerana beliau ahli parlimen maka dilepaskan," katanya.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP