SHAH ALAM – Siasatan berhubung kes penyaluran dana RM90 juta kepada Pas yang diterima daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini dalam peringkat akhir.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, pegawai penyiasat sudah diarahkan menyerahkan kertas siasatan itu kepada pendakwa raya selewat-lewatnya akhir minggu depan untuk mendapatkan keputusan.
“Saya sudah berbincang dengan pegawai-pegawai penyiasat dan laporan yang saya terima adalah kes ini di peringkat akhir siasatan.
“Kita ada buka beberapa kertas siasatan tapi kita perlu kemukakan dulu kepada pendakwa raya.
“Kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dibincang dan mendapat sebarang arahan berhubung dengan kes berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian bangunan baharu Kompleks SPRM Selangor, di sini, hari ini.
Pada 25 Februari lalu, SPRM mengesahkan siasatan pihaknya setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan wang RM90 juta yang didakwa daripada 1MDB ke dalam akaun PAS.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.
Pada 8 Februari lalu, bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta disyaki daripada 1MDB.
Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya yang diterbitkan portal berkenaan, sebelum ini mendakwa ada pemimpin tertinggi Pas mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Isu terbabit timbul semula apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan berkenaan.
Ditanya tentang kemungkinan SPRM tidak lagi memanggil pemimpin Pas lain dalam masa terdekat, Azam berkata, kes terbabit masih berjalan dan beliau enggan mengulas.
“Itu saya tak nak spekulasi apa-apa, siasatan masih berjalan, di mana kertas siasatan telah siap saya telah arahkan kemukakan cepat kepada pendakwa raya untuk mendapatkan keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment