Monday 25 March 2019

KERANA NURUL IZZAH, DR M MENGALAH JUA AKHIRNYA




KERANA NURUL IZZAH, DR M MENGALAH JUA AKHIRNYA

Jika sebelumnya ini, Dr Mahathir Mohamad agak keras pendiriannya berhubung kedudukan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), kekerasan hatinya kini nampaknya sudah mulai mengendur.

Dalam perkembangan terbaru, beliau menyatakan kesediaannya untuk menimbang melantik pengerusi baru PAC daripada pembangkang bagi menggantikan Ronald Kiandee yang kini telah menyertai Bersatu.

“Ya, kita akan menimbangkannnya. Kita akan mencari calon yang bagus.

“Ia adalah janji yang dibuat PH. Kita boleh laksanakannya bila-bila masa, kita akan berpegang kepada janji,” ujar beliau.

Sebelum ini, ketika mempertahankan kedudukan Ronald Kiandee, Dr Mahathir bertegas menyatakan tidak perlu bagi Ahli Parlimen Beluran itu meletakkan jawatannya.

Kata Dr Mahathir, PH sudah menunaikan janjinya apabila melantik Ronald Kiandee daripada Umno untuk jawatan Pengerusi PAC, tetapi apa yang boleh dilakukannya jika beliau kemudiannya memilih untuk melompat menyertai parti kerajaan.

Pendirian Dr Mahathir itu bukan saja pelik, malah dilihat jelik kerana ia jelas telah menodai janji PH sendiri.

Selain beberapa pemimpin PH melontarkan suara bantahan terhadap sikap Dr Mahathir itu, ia seterusnya mendorong Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh meletakkan jawatannya sebagai Ahli PAC pada semalam.

Sudah tentu perubahan sikap Dr Mahathir ini adalah disebabkan tindakan Nurul Izzah itu.

Selepas mengumumkan pengunduran sebagai ahli PAC, Nurul Izzah juga memaklumkan bahawa ini adalah penggal terakhirnya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Dilaporkan beliau menyatakan bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk bekerja dengan Dr Mahathir.

Sebagaimana yang diketahui umum, Dr Mahathir adalah ahli politik yang licik dan boleh bertukar bila-bila masa setelah mendapat kuasa.

Sikap beliau, bukan saja kepada keluarga Anwar Ibrahim, malah kepada sesiapa juga boleh berbeza antara sebelum beroleh kuasa dengan setelah kuasa berada di tangannya.

Dengan sikapnya yang demikian itu, sesiapa saja boleh jadi bosan dan patah hati dengannya.

Bagaimanapun, dengan kesediaan beliau mengalah dalam soal kedudukan pengerusi PAC, ini secara tidak langsung bermakna, jika sikap dan pendirian Dr Mahathir dalam mengurus kerajaan yang dilihat bercanggah dengan agenda reformasi PH dibantah dengan cara yang betul, ia pasti akan beroleh kejayaan.

Kejayaan mengubah pendirian Dr Mahathir dalam soal perlantikan pengerusi PAC harus dilihat sebagai langkah permulaan bahawa pemimpin-pemimpin mesti berani bertindak lebih tegas dalam mempertahankan PH.

Mereka mesti sedar bahawa PH lebih besar dan utama berbanding Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang ada pelbagai kuasa ditangannya.

Jangan takut atau gentar menyanggah pendirian Tun Mahathir yang bertentangan dengan PH kerana nilai perjuangan yang disokong rakyat adalah lebih penting untuk dipelihara berbanding nikmat jawatan dan kedudukan yang memberi keselesaan dalam kehidupan.

Moganya lebih ramai pemimpin ada sikap seperti Nurul Izzah yang tidak sayang jawatan atau kedudukan demi memastikan agenda PH kekal terpelihara sampai bila-bila.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP