Monday 30 September 2013

412,245 peminjam PTPTN tak buat bayaran balik

Seramai 412,245 peminjam tidak membuat bayaran balik kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 31 Ogos lepas, kata Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kaum Melayu mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 328,550 diikuti Cina (55,445) dan India (28,250).Katanya jumlah keseluruhan peminjam PTPTN ialah 1.24 juta orang.


Perkara itu dinyatakan beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Lim dalam soalannya meminta menteri pendidikan menyatakan statistik peminjam mengikut bangsa, jantina dan negeri yang tidak membayar balik pinjaman PTPTN sehingga 16 September lepas.

Muhyiddin berkata tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan dengan menyenaraihitam peminjam ke luar negara dan tindakan saman adalah antara langkah PTPTN untuk meningkatkan tahap kesedaran, kefahaman dan tanggungjawab peminjam terhadap kewajipan membayar balik pinjaman.

Beliau menjelaskan tindakan sedemikian juga tidak dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa memberi ruang kepada peminjam.Katanya berdasarkan prosedur kerja sedia ada, PTPTN telah melaksanakan pendekatan fleksibel dalam mendapatkan bayaran balik pinjaman sebelum menyenarai hitam peminjam.

Katanya tindakan menyenaraihitam di Jabatan Imigresen adalah sebagai langkah terakhir dalam memberi peringatan kepada peminjam tegar selepas mereka tidak mempedulikan ingatan supaya membayar balik pinjaman.

Katanya PTPTN telah membuka 12 pejabat PTPTN negeri, dua buah one stop centre dan empat pejabat cawangan di lokasi strategik bagi membolehkan peminjam mengadakan rundingan untuk penyelesaian hutang. 

Selain itu, katanya PTPTN turut memberi insentif kepada peminjam di bawah insentif mengurangkan kos pembelajaran pelajar yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2013 tahun lepas.

Insentif itu meliputi diskaun 20 peratus ke atas baki pinjaman mereka yang menyelesaikan hutang sekaligus dalam temmpoh setahun bermula 1 Oktober 2012 hingga hari ini (30 Sept 2013).

PTPTN turut memberi diskaun 10 peratus setahun kepada peminjam yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012.

-Bernama



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP