Friday 27 September 2013

RM20 Juta Untuk Bayar Perunding Luar Negara Adalah Kerja Bodoh Dan Gila

Kenyataan Media MAPIM
25 hb September 2013

MEMBAYAR PERKHIDMATAN PERUNDING LUAR NEGARA ADALAH SUATU SKANDAL .

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengesa kerajaan menyemak semula amalan melantik dan membayar yuran perunding luar negara yang sangat tinggi untuk perkhidmatan perundingan tertentu .


Kami tidak faham kenapa amalan ini berterusan sehingga melibatkan jutaan ringgit yang menguntungkan syarikat perunding luar negara . Apatah lagi perunding yang dilantik bukan pakar dalam bidang yang dimandat untuk mendapatkan perkhidmatannya.




Apapun alasan yang diberi untuk melantik syarikat perunding luar , wang awam telah digunakan yang sepatutnya diurus dengan amanah dan telus.

Namun bila perunding luar dipilih yang tidak mempunyai kedalaman faham dan kepakaran mengenai negara ini ,maka perbelanjaan membayar perunding luar berjumlah jutaan ringgit , bagi kami adalah suatu skandal.

Kami terkejut bila diumumkan di Parlimen bahawa Kementerian Pendidikan melantik sebuah syarikat perunding McKinsey and Co dengan bayaran RM20.56 juta untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia .

Lebih mengejutkan lagi ada dakwaan bahawa syarikat perunding itu tidak mempunyai kelayakan dalam bidang kajian pendidikan. Soalnya kenapa pula ia dimandatkan untuk melakar sebuah perancangan sektor yang terpenting dalam pembangunan negara iaitu sektor pendidikan.

Soalnya bagaimana keputusan dibuat untuk melantik perunding ini , apa tujuan dan untuk keperluan apa syarikat itu dilantik serta apakah kriteria syarikat perunding itu dipileh?

Persoalannya ialah bukan sahaja peruntukan yang sangat tinggi dibayar untuk menghasilkan dokumen PPM dibayar kepada syarikat perunding luar , akan tetapi apakah setelah 56 tahun negara ini merdeka kita maseh memerlukan konsultasi orang luar untuk menghasilkan sistem pendidikan kita sendiri?

Dimanakah yang dikatakan Majlis Professor Negara yang menghimpun ratusan ahli sarjana yang pakar dalam pelbagai bidang? Apakah mereka lebih rendah ilmunya untuk menjadi pemikir bagi melakar rancangan sistem pendidikan negara ini , lalu kita memerlukan orang luar untuk melaksanakan tugas ini?

Kami kesal amalan melantik dan membayar perunding luar negara menjadi amalan biasa kerajaan yang ada.

Pengelaman kerajaan selama ini dapat direkodkan bahawa ia telah sering membayar perunding luar untuk mendapat nasihat bagaimana mempromosi pentadbiran pemimpin negara .

Khidmat itu diguna adalah untuk memberi nasihat bagaimana membina imej Malaysia termasuk untuk menaikan imej pemimpin . Bayaran yang dilaporkan bernilai RM 1.2 juta dibayar kepada syarikat perunding yang dilantik tanpa pengetahuan rakyat.

Sehingga ini tidak ada penafian syarikat perhubungan awam AS yang dilantik itu mengenai pendedahan ia menerima pembayaran dari kerajaan Malaysia diatas khidmat nasihat yang diberi itu.

Demikian sebelum ini pada 2002 suatu perbelanjaan untuk mengatur pertemuan antara PM Malaysia dengan Presiden US melibatkan RM 4.4 juta dibayar kepada perunding yang dilantik.

Begitu juga betapa jutaan ringgit dihabiskan untuk membayar perunding mengatur pembelian pelbagai barangan dan alatan tentera . Komisyen untuk perunding yang mengkordinasi pembelian kapal selam sahaja melibatkan pembayaran RM 510 juta.

Kami menegaskan ini adalah suatu amalan yang pincang , tidak sensitif dengan amanah wang rakyat serta dilakukan dengan tidak telus.

Walaupun Kementerian Kewangan ada menyediakan manual perolehan Khidmat Perundingan , kami berpandangan bahawa rasional memilih dan meluluskan perkhidmatan perundingan hendaklah dikaji semula , terutama yang melibatkan syarikat perundingan luar negara.

Kami mendesak kerajaan menghentikan amalan ini dan segala perlantikan perunding yang melibatkan projek dan khidmat kerajaan hendaklah diutamakan syarikat tempatan. Itupun hendaklah dilakukan dengan telus dan dikawal selia dengan ketat supaya tidak berlaku penyelewengan dan pembaziran wang awam.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP