Sunday, 13 November 2016

Hashim Jasin: PAS Ada Hak Untuk Bincang Dengan UMNO

PAS 'terasa' dengar komen Mahathir



Walaupun kenyataan yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bersifat umum, PAS kelihatan 'tersentap' apabila pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu seakan-akan menyindir mereka.

Hari ini Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, menjelaskan pendirian parti itu tidak menyertai Pakatan Harapan bukan bermakna mereka sudah menerima "dedak" daripada Datuk Seri Najib Razak.

Mengakui bekas perdana menteri itu berhak memberikan pandangan, Hashim berkata PAS juga ada pendirian sendiri dan tidak perlu terpengaruh dengan mana-mana pihak.

"Itu pandangan dia (Dr Mahathir), saya ada pandangan saya sendiri. Tidak semestinya PAS kena ikut apa Dr Mahathir kata sebab saya sendiri ada jalan yang tersendiri," katanya.

Hashim yang baru dilantik sebagai mursyidul am parti itu berkata sikap PAS tidak menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) bukan bermakna mereka kini menyokong Najib.

"Kalau mahu lihat perkara sebenarnya, kita lihat dalam pilihan raya umum akan datang," katanya pada sidang media selepas Himpunan Ledakan Suara Rakyat (LASAK) di Taman Medan, Petaling Jaya hari ini.

Malaysiakini semalam dalam pidato di Konvensyen HARAPAN di Shah Alam Dr Mahathir berkata mana-mana pihak yang memusuhi gabungan pembangkang itu boleh dianggap sebagai penyokong Najib.

Katanya sikap berkenaan juga mungkin menjadi petanda bahawa pihak terbabit sudah mendapat "dedak" daripada perdana menteri.

"Dedak" adalah istilah dipopularkan Dr Mahathir dan penyokongnya yang merujuk kepada pemberian didakwa diberi perdana menteri untuk mendapatkan sokongan.

Agama tak melarang

Dr Mahathir bersama beberapa bekas pemimpin kanan Umno - termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini bergerak aktif bersama BERSATU dalam kempen mereka mengetepikan Najib dalam pilihan raya akan datang.

Penyertaan BERSATU dalam konvensyen pertama HARAPAN semalam menjadi petanda kesungguhan mereka menghadapi BN dalam pakatan pembangkang yang bersatu.

Bagaimanapun PAS setakat ini masih menjauhi HARAPAN.

Kenyataan Dr Mahathir semalam dibuat secara umum dan banyak pihak menganggap ia disasarkan kepada PAS walaupun pada masa sama ada pertubuhan lain mungkin disasarkan oleh bekas perdana menteri itu.

Kata Hashim, dakwaan dibuat Dr Mahathir semalam kononnya PAS menerima dedak daripada Umno hanyalah pandangan semata-mata.

Sementara itu PAS sekali lagi menegaskan pendirian mereka untuk berbincang dengan mana-mana pihak - termasuk Umno - kerana ia dibenarkan Islam.

Bagaimanapun menurut Hashim tidak ada mana-mana boleh menuduh mereka ingin menyertai parti Melayu itu.

“Dalam Islam walaupun dia itu musuh, agama tak larang (kita) berjumpa dan berbincang.

“Jadi, sekarang ini dia (Umno) nak bincang dengan kita. Apa-apa persoalan kita sedia dengar dan dia (Umno) juga patut sedia dengar apa yang kita nak kata dan (kemudian) kita pertimbanglah.

“Tapi jangan tuduh PAS masuk BN, yang itu kami dah buat keputusan,” katanya.

- mkini

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP