Tuesday, 8 November 2016

Kisah Alibaba, Najib Dan RM144B...



ALI Baba, satu watak dongeng yang memang tidak asing lagi di seluruh dunia. Melalui Kisah Ali Baba dan 40 Penyamun, cerita yang penuh tauladan sudah pun dibaca dengan penuh minat oleh ramai orang sama ada melalui karya buku cerita ataupun tayangan filem.

Hari ini, nama Ali Baba terus menjadi sebutan ramai. Namun, ia sudah bukan lagi menjadi bahan cerita dongeng, tetapi sebagai syarikat korporat yang mampu menggegar dan mengubah dunia.

Syarikat Kumpulan Alibaba kini sudah masyhur di segenap pelosok dunia malahan laman web ‘alibaba.com’ menjadi buruan ramai, khasnya kepada golongan korporat dan pelanggan yang ingin membeli apa juga barangan melalui ‘online’.

Apa yang menghairankan, usahawan yang memilih ‘Ali Baba’ sebagai nama syarikatnya bukanlah bangsa Arab ataupun Melayu, tetapi adalah seorang peniaga dari Hangzhou, China yang bernama Jack Ma Yun.

Antara Jack Ma dan Alibaba sudah tidak boleh dipisahkan. Sebut saja ‘alibaba’, tokoh yang pertama terlintas dalam fikiran semua orang sudah pastinya ialah Jack Ma, seorang lelaki dengan fizikalnya agak kecil namun jiwanya cukup besar, berwawasan dan semangat kental dan tidak cepat putus asa.

Kata Jack Ma, beliau sengaja menamakan syarikatnya sebagai ‘alibaba’ kerana nama itu mempunyai nilai antarabangsa apatah lagi semua orang sudah mengenalinya.

Pada tahun 1994, beliau mendapat idea untuk meletakkan nama syarikatnya sebagai Alibaba ketika berada di sebuah restoran, New York, Amerika Syarikat. Beliau bertanyakan seorang pelayan dalam restoran itu apakah dia kenal ‘Alibaba’? Jawapan yang diterimanya adalah ‘ya’.

Begitu juga dengan 20-30 orang lagi yang ditemui di tepi jalan. Semua orang memberikan jawapan sama - semua kenal ‘Alibaba’. Akhirnya tanpa berfikir panjang, Jack Ma membuat keputusan guna nama watak dalam cerita dongeng Arab itu untuk syarikatnya sehingga berjaya mengaut keuntungan berbilion-bilion ringgit pada hari ini.

Jack Ma kini menjadi satu nama yang cukup digeruni dalam dunia teknologi maklumat era kini. Beliau bukan sahaja dihormati oleh tokoh-tokoh korporat dunia, malahan kepakarannya amat dihargai oleh pemimpin-pemimpin dunia.

Pertemuan Jack Ma dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Beijing, China Jumaat lalu menarik perhatian dunia apabila Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba itu bersetuju dilantik sebagai penasihat ekonomi digital kepada kerajaan Malaysia.

Pelantikan itu sudah tentu akan mencetuskan mengenai idea terbaru yang bakal diilhamkan oleh taikun internet China ini dalam pembangunan ekonomi digital Malaysia.

Dalam Bajet 2017 diumumkan Najib bulan lalu, sejumlah RM162 juta diperuntukkan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk program seperti ekosistem e-dagang dan Digital Maker Movement, serta pengenalan kategori lokasi baharu yang dipanggil Hab Digital Malaysia.

Jelas menunjukkan Malaysia cukup serius untuk membangunkan sektor e-dagang sehingga mendapat khidmat daripada Jack Ma yang sudah tentunya mampu mengubah cara hidup rakyat Malaysia dalam menjalankan aktiviti perniagaan internet dalam beberapa tahun akan datang.

Jack Ma dalam majlis pertemuan dengan Najib dan rombongan dari Malaysia itu cukup menghargai pelantikan itu. Beliau dipercayai diberi tugas menasihatkan kerajaan Malaysia dan membantu dalam menerokai, memajukan dan menentu hala tuju masa depan negara dalam sektor ekonomi digital.

Pada September lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo turut melantik Jack Ma sebagai penasihat e-commerce untuk kerajaan negara itu.

Jack Ma, yang dilahirkan pada 10 September 1964, sudah memang diakui sebagai seorang tokoh perniagaan yang berfikiran luar biasa. Kemunculannya dalam dunia perdagangan melalui teknologi maklumat kerap menjadi kontroversi lebih-lebih lagi ketika melakukan keputusan mengejut sehingga berjaya meraih beratusan juta ringgit dalam sekelip mata.

Pada awal tahun ini, Jack Ma dicatatkan memiliki kekayaan sebanyak AS$29.9 bilion (RM120 bilion) dengan menduduki tempat ke 21 orang terkaya di dunia dan orang ketiga terkaya di rantau Asia.

Berasal dari sebuah keluarga yang miskin, Jack Ma namun tidak pernah putus asa untuk memburu hidupnya untuk berjaya. Beliau pernah menjadi pendidik dengan mengajar subjek bahasa Inggeris di sekolah menengah sebelum ditugaskan mengajar di universiti dengan gaji RMB120 ( RM75) sebulan.

Beliau juga pernah menganggur agak lama walaupun cuba memohon pelbagai jenis kerja. Namun semua itu tidak melemahkan semangatnya untuk mencari kejayaan.

Dalam beberapa tahun akan datang, rakyat Malaysia perlu memerhati ‘gerak-geri’ tauke Alibaba.com ini. Beliau terbukti telah mengubah urusan perniagaan online dengan pantas dan pintar. Kita mahu tak mahu perlu akur dunia tanpa sempadan ini telah diambil oleh Ma dengan meraih kekayaan yang tidak terbatas.

Sebagai ikon global dalam bidang e-dagang, Jack Ma akan membantu negara kita dalam menyediakan pakej e-ekonomi dari segi pelaksanaannya termasuk e-pembayaran, Alipay, e-pembiayaan perbankan dalam talian dan sebagainya.

Kegiatan ekonomi dan pembangunan Malaysia dalam tempoh 10-20 tahun akan datang ini bakal berubah dengan kehebatan Jack Ma dan syarikat-syarikat korporat dari China ini. Syarikat-syarikat asing inilah akan bantu kita menjalankan pelbagai projek mega.

Kunjungan Najib ke China selama enam hari itu bukan sahaja membuka lembaran baru dengan menemui tokoh-tokoh usahawan di negara itu termasuk Jack Ma, malahan telah mencatatkan rekod dalam sejarah negara apabila memeterai 14 perjanjian dengan China yang bernilai sehingga RM144 bilion. Selain itu, Malaysia dan China turut memeterai 16 perjanjian dan MoU antara kerajaan dengan kerajaan.

Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan masih perlukan bantuan daripada negara luar.

Jadi apakah Jack Ma akan menjadi seperti Alibaba yang mempunyai jiwa besar untuk menolong 'orang miskin' seperti dalam cerita Alibaba dan 40 Penyamun itu?

Antara projek dan perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia dengan China ini termasuk pembinaan landasan kereta api pantai timur yang bernilai RM55 bilion; pembelian empat buah kapal perang Littoral Mision Ship (LMS); pembinaan kilang keluli di Sarawak; pembinaan Taman Teknologi Hijau di Pekan, Pahang; pembinaan Taman Perindustrian Kuantan-China dan sebagainya.

Hubungan yang cukup akrab terjalin antara Najib dan kerajaan China dengan memberikan projek menelan ratusan bilion ringgit kepada negara kuasa besar Asia itu mendorong ramai pemerhati politik antarabangsa mempercayai apakah itu salah satu tindakan yang memberikan tekanan kepada sebuah lagi negara kuasa besar, iaitu Amerika Syarikat.

Begitu juga andaian yang dibuat untuk perkembangan politik dalam tanah air sendiri. Apakah Najib untuk ‘berbaik-baik’ dengan China boleh dianggap satu cara secara tidak langsung menarik semula sokongan kaum Cina untuk BN pada pilihan raya umum akan datang?

Kenyataan beliau perlu difahami kerana sejak sekian lama, jumlah perdagangan antara China dengan Malaysia amatlah banyak dan sememangnya telah membawa keuntungan kepada kedua-dua pihak.

Kemajuan teknologi dari China perlu kita akui sebagai antara yang tercanggih di dunia. Alibaba dan syarikat-syarikat besar dari China bukan sahaja akan dikenali kita dengan lebih dekat, malahan pastinya mempengaruhi cara hidup kita ke alam dunia yang lebih cekap dan moden.

Najib sendiri telah menegaskan kerjasama dengan China bukanlah untuk menjual negara. Namun apakah kita sudah bersedia menerima perubahan dan pembaharuan yang dibawa oleh 'Negara Tembok Besar' ini?

Sama ada bersedia atau tidak, yang pasti, kata-kata sindiran 'Balik Tongsan' yang ditujukan kepada kaum Cina sebelum ini bukan sahaja perlu ditarik balik, malahan nampaknya sudah tidak praktik lagi kerana 'Tongsan' sendiri sudah datang ke Malaysia !

- sinarharian


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP