Saturday, 19 November 2016

Lebih 40,000 Peserta BERSIH5 'Tawan' KLCC



Kawasan lapang berhadapan Menara Berkembar Petronas yang menempatkan pusat beli belah KLCC di Jalan Ampang kini dibanjiri lebih 30,000 peserta BERSIH5 petang ini.

Mereka berkumpul di situ dari beberapa lokasi selepas mendapat arahan daripada pengelola perhimpunan.

Sebahagian daripada mereka tiba di lokasi berkenaan menaiki LRT, manakala selebihnya berjalan.

Jika berjalan tempoh yang diperlukan untuk tiba ke situ dari kawasan Masjid Jamek ialah kira-kira 30 minit. Dianggarkan 3,000 orang memilih untuk berjalan setakat ini.

Dianggarkan ada kira-kira 30,000 orang sedang berkumpul di situ atau kawasan berhampiran sambil mendengar ucapan beberapa pemimpin termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Mahathir tiba di perhimpunan hari ini sejurus selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dari luar negara.

Sementara itu kira-kira 2,000 lagi penyokong BERSIH masih melepak di Jalan Tun Perak manakala sebahagian besar peserta Baju Merah sudah bersurai.






5.30pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Peserta himpunan BERSIH5 mula beransur-ansur bergerak pulang.

Di persimpangan Kampung Baru menuju ke Jalan Tunku Abdul Rahman juga sudah dibuka untuk kenderaan melaluinya.

Dalam temubualMalaysiakini bersama seorang peserta himpunan yang datang dari Baling, Kedah, beliau berkata sangat kecewa dengan apa yang berlaku kepada negara kini.

Pesara berusia 68 tahun dan enggan namanya dilaporkan itu berkata kehidupan seharian orang ramai kini terbeban.

"Kami orang kampung hidup susah. Kami datang sini menaiki bas untuk kami menyatakan kesengsaraan kami.

"Cukuplah himpunan BERSIH5 ini, kami mahu kerajaan pula mainkan peranan mereka. 

"Fahami kesusahan rakyat. Kami telur sebiji kongsi satu rumah," katanya dengan nada sebak.

Hujan petang depan KLCC

5.25pm: Jalan Ampang - Hujan mula turun. Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kelihatan memakai baju hujan manakala orang ramai yang masih berada di kawasan ini berlindung di bawah payung.

Ambil masa bergambar

5.15pm: Masjid Jamek - Suasana yang kembali tenang digunakan peserta BERSIH5 untuk bergambar dengan kenderaan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di Jalan Tun Perak.

Pada salah satu kenderaan itu seorang anggota FRU dilihat bersikap 'mesra' kerana memberi kerjasama untuk orang ramai mengambil gambar.

Pada kebanyakan masa anggota terbabit menunjukkan isyarat "peace" ketika orang ramai merakam gambar.

"Abang! Pos sikit!" kata seorang lelaki ketika dia menghalakan kamera pada telefonnya ke situ.

Stesen bas jadi pentas

5pm: Jalan Ampang - Menyedari ada peserta tidak dapat mendengar ucapan yang disampaikan di kawasan agak jauh daripada mereka, beberapa pemimpin pembangkang membuka 'pentas' baru berhampiran sebuah stesen perhentian bas.

Setiausaha Agung PRK Rafizi Ramli misalnya membangkitkan beberapa isu dalam ucapannya, termasuk kadar hutang ditanggung kerajaan.

Katanya isu berkenaan dibangkitkan atas pertimbangan ia melibatkan kepentingan rakyat.

Rafizi juga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak "tidak dapat tidur lena" malam ini kerana menyedari ramai orang mahu beliau berundur.

Jumlah peserta meningkat 40,000

4.55pm:  KLCC -  Kehadiran orang ramai di sekitar KLCC kini dianggarkan seramai 40,000 orang.

Lautan 'kuning' memenuhi sekitar Jalan Ampang dari pejabat Lembaga Getah Malaysia hingga ke Pusat Pelancongan Malaysia sejauh kira-kira 600 meter.

Bagaimanapun segelintir peserta BERSIH5 dilihat mula beransur-ansur pulang kerana keadaan langit yang mula gelap serta sesekali guruh kedengaran.

Perhimpunan dijangka tamat pada jam 6 petang ini.

Kita bukan Jamal, kata Dr M

4.45pm: Jalan Ampang - Dalam ucapannya Dr Mahathir berkata peserta BERSIH5 berkumpul dengan aman - berbeza daripada ketua kumpulan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos.

"Kita bukan Jamal (yang) apabila kena tumbuk dihidung, menangis...." katanya.

Bekas perdana menteri itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua peserta kerana tetap turun ke jalan raya walaupun dalam keadaan politik semakin memburuk.

"Kita bulan lagi hidup di bawah sistem demokrasi, tetapi negara klepotokrasi yang diperintah pencuri," katanya.

Sementara itu Muhyiddin berkata tiba masanya untuk penguasaan BN dan Umno ditamatkan demi rakyat.

Beliau juga menggesa orang ramai melakukan perubahan pada pilihan raya umum akan datang.

"Masa depan kita adalah untuk semua. Ia bukan (hanya) untuk saya. Saya dah tua tetapi anda semua yang masih muda," katanya.

Dr Mahathir disambut meriah

4.30pm: Jalan Ampang - Tun Dr Mahathir Mohamad tiba bersama beberapa pimpinan pembangkang.

Kelihatan bersama bekas perdana menteri itu ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin, naib presiden yang juga anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub.

Turut berada bersama di atas kenderaan pacuan empat roda itu ialah Ketua Setiausaha Sekretarian Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok (PAS) Syed Azman Syed Ahmad.

Ketibaan mereka disambut dengan tepukan gemuruh orang ramai. 

LRT sibuk luar biasa

4.30pm: Stesen LRT KLCC - Kesibukan luar biasa di sini hari ini dengan kehadiran peserta BERSIH5 yang tiba atau beransur pulang.

Tren yang menuju atau tiba dari stesen Masjid Jamek dipenuhi penumpang BERSIH selain sejumlah kecil penumpang biasa.

Petugas RapidKL didengar menjerit memberi arahan kepada pengguna untuk mengurangkan kesesakan.

"Keluar ke kiri, keluar ke kiri!" katanya.

"Pergi ke pintu sebelah! Jangan masuk kalau dah penuh!" kata kakitangan lain yang cuba menguruskan penumpang memasuki tren. 

Demo dalam jerebu di  China

4.31pm: Himpunan BERSIH5 di  Shanghai, China turut berlangsung dengan kira-kira 100 rakyat Malaysia menyertainya dalam keadaan cuaca berjerebu.

Selain Shanghai, BERSIH5 juga dijadual berjalan di 64 lagi bandar di seluruh dunia.

Zuraida ungkit 'insiden hidung' Jamal

4.20pm: KLCC - Anggota parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berucap kepada orang ramai dengan membangkitkan insiden hidung berdarah melibatkan pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Yunos minggu lalu.

Zuraida berkata, seluruh rakyat Malaysia gembira dengan perkara itu.

“Siapa tumbuk Jamal?” Soalnya sambil dijawab “polis” oleh orang ramai.

Mereka selepas itu senyap bagi menghormati laungan azan yang sedang berkumandang.

30,000 di KLCC

4.20pm: Kuala Lumpur -  Penyokong BERSIH membanjiri KLCC sehingga melimpah sehingga Jalan Ampang.

Kumpulan dari Masjid Jamek juga tiba di KLCC menggunakan LRT. Ramai lagi yang menunggu giliran untuk ke Menara Berkembar Petronas.

Peserta di sini mencecah angka 30,000 orang.

Di Jalan Tun Perak, kira-kira 1,000 penyokong BERSIH masih berada di situ, kebanyakannya aktivis mahasiswa.

Mat Sabu kutuk penahanan Maria 

4pm: KLCC - Parti Amanah Negara (Amanah) president Mohamad Sabu mengutuk penahanan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.

Katanya, Maria tidak pernah menyebut berkaitan menggulingkan kerajaan.

“Dia hanya sebut tukar kerajaan melalui pilihan raya. Tiba-tiba di ditahan Sosma,” katanya.

Kebanyakan Baju Merah sudah beredar

4.07pm: Jalan Raja Laut - Hanya tinggal kira-kira 20 orang sahaja peserta Baju Merah yang tinggal apabila kebanyakan daripada mereka telah bersurai.

Ketika bersurai, ada antara mereka singgah ke kedai makan dan juga terdapat segelintir yang masih lagi 'melepak' di tepi jalan di Jalan Raja Laut.

Sebahagian besar daripada peserta di sini berjalan menuju ke PWTC.

Dipercayai bas yang membawa mereka ke ibu negara berada di sana. 

Kain rentang panjang anti-Najib

4pm: Masjid Jamek - Gabungan Mahasiswa kelihatan mula membuka kain rentang anti-Najib sepanjang lapan meter.

Kain rentang itu dipegang kira-kira 15 orang.

Sementara itu, dalam ucapan aktivis mahasiswa Asheeq Ali mengutuk penangkapan Anis Syafiqah Mohd Yusuf Malam tadi.

Katanya Anis ditahan atas alasan merusuh bagaimanapun perkara itu tidak berlaku hari ini.

"Berjaga-jagalah PRU selepas ini kerajaan tidak dapat lagi tindas kami," katanya sambil melaungkan “student power”.

Sebelum berakhirnya acara, pihak mahasiswa sempat menyanyikan lagu "Terima Kasih Abang Polis" sambil memandang kepada anggota keselamatan yang sedang mengawal.

Cuaca kelihatan agak mendung namun belum ada tanda-tanda untuk peserta ini bersurai.

- mkini



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP