Malaysia bakal menjadi negara keempat dalam rantau Asia Tenggara yang paling teruk terjejas berikutan kemenangan Donald Trump semalam, menurut kajian firma erkemuka Nomura Global Economics.
Bloomberg yang memetik kajian itu melaporkan negara paling terjejas adalah Filipina dan diikuti oleh Thailand dan Indonesia.
Aspek yang dijangka terjejas teruk itu ialah jumlah eksport ke Amerika dengan Filipina bakal kehilangan sehingga 15 peratus, Thailand (lebih 11 peratus), Indonesia (sekitar 11 peratus), Malaysia (hampir 10 peratus) dan Singapura (hampir 10 peratus).
Sementara itu, China selaku rakan perdagangan utama AS pada tahun lepas dengan nilai dagangan lebih AS$600 bilion pada tahun lepas mungkin berdepan risiko dikenakan tarif atas barangannya.
"Langkah sedemikian akan menjejaskan eksport China. Ia juga boleh mencetuskan perang perdagangan jika Beijing bertindak balas dengan ekonomi negara rantau Asia yang lain menjadi mangsa pertembungan dua kuasa besar itu," kata laporan yang sama.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dipetikBernama sebagai berkata, Malaysia mungkin berdepan risiko kehilangan satu juta peluang pekerjaan dapat diwujudkan di Malaysia jika Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) gagal untuk dilaksanakan.
"Jika tiada TPPA, maka perkara tersebut tidak akan dihasilkan," jelas Mustapa sambil merujuk kepada kajian PricewaterhouseCoopers (PwC) yang mengunjurkan satu juta peluang pekerjaan dapat diwujudkan di Malaysia jika TPPA terlaksana.
Kebimbangan mengenai terbatalnya TPPA itu tercetus ekoran kenyataan Trump dalam kempennya tidak lama dahulu yang mahu perjanjian tersebut berkubur jika beliau dinobatkan sebagai presiden AS yang baru.
Menyifatkan TPPA sebagai perjanjian perdagangan yang 'dahsyat', Trump mahu ia dibatalkan kerana mendakwa ia sebagai tidak memberi kelebihan kepada negara Uncle Sam itu.
Mengulas lanjut, kata Nomura lagi, di rantau Asia pula, negara yang paling terkesan ekoran kemenangan Trump ialah Korea Selatan.
"Korea Selatan mungkin berdepan tindak balas dari dua sisi dengan Trump telah mengkritik perjanjian perdagangan bebas dengan negara itu pada 2012 kerana memusnahkan hampir 100,000 pekerjaan Amerika.
"Trump telah berikrar untuk memaksa Korea Selatan untuk membiayai sepenuhnya kos jaminan keselamatan diberikan oleh Amerika Syarikat yang boleh menambah kepada masalah fiskal," kata firma itu lagi.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment