Friday 25 November 2016

Polis Tangkap Anak Tajuddin Dan Konco Yang Merusuh Di Parlimen



Sepuluh individu, termasuk anak ahli parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dicari polis susulan kejadian merusuh di lobi bangunan Parlimen, semalam sudah ditangkap manakala seorang lagi wanita menyerah diri, hari ini.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh sehingga jam 10.15 pagi tadi, semua suspek yang jumlah keseluruhannya kini 11 orang berjaya ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Kita minta orang ramai yang mempunyai bukti atau maklumat lain berkaitan kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat.

"Mereka boleh berhubung dengan pegawai kita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada sidang akhbar yang diadakan sebelum ini di Bukit Aman, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan membuat keputusan jika mereka mahu bertindak ke atas ahli parlimen yang membawa kumpulan itu ke dalam kawasan Parlimen.

Ini, katanya bergantung kepada niat anggota parlimen itu.

Semalam, sekumpulan individu cuba menyerang Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad di kawasan Parlimen.

Khalid dan Tajuddin terbabit dalam pertikaman lidah di Dewan Rakyat, Isnin lalu apabila ahli parlimen Pasir Salak itu secara sinis menggelar ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya perempuan yang ada “Kok”.

Pertengkaran kemudiannya tercetus dan Khalid turut bangkit dan menggelar Tajuddin dengan panggilan "sial" kerana tidak mahu menarik balik kata-katanya itu.

Tajuddin juga mengancam untuk menyaman ahli parlimen Shah Alam itu.





PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP