Wednesday, 10 July 2013

Enam Peguam Menang Saman Terhadap Polis

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan perbuatan polis menahan enam peguam hak asasi yang mengambil bahagian dalam Hari Hak Asasi pada 2007, menyalahi undang-undang .

Berikutan itu, Hakim Datuk John Louis O'Hara menganugerah setiap plantif RM10,000 sebagai ganti rugi, selain RM60,000 sebagai kos mahkamah.


Mereka ialah R Sivarasa, N Surendran, Latheefa Koya, Eric Paulsen, Amer Hamzah Arshad and Johny Andu @ Abu Bakar Adnan.

Mereka memfail saman pada 8 Disember 2010 terhadap Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ketua Polis Negara, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

O'Hara berkata:" Mahkamah ini berpeluang melihat rakaman video dan gambar kejadian dan ia banyak membantu mahkamah dalam memberitahu apa sebenanya berlaku pada hari itu.

"Saksi utama ialah Che Hamzah Che Ismail (defendan pertama). Dia kelihatan memberikan arahan yang mengelirukan, konflik dan bertentangan menerusi pembesar suara kepada peserta larian itu untuk bersurai.

"Enam peguam itu memfailkan tuntuan sivil pada 8 Disember 2010 terhadap Superintenden Che Hamzah yang pada ketika itu menjawat jawatan Timbalan Ketua Balai Polis Daerah Dang Wangi; Ketua Polis Negara; Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan.

Che Hamzah dinamakan sebagai defendan pertama kerana beliau adalah `komander' untuk operasi menentang acara hari hak asasi manusia itu yang membawa kepada penangkapan tidak sah dan penahanan walaupun beliau sendiri memberi kebenaran kepada peserta untuk berjalan.

Dalam keputusannya, O'Hara berkata, Che Hamzah memberikan masa 10 minit kepada peserta.

"Tetapi, beliau sendiri tidak muktamad dengan arahan itu. Berdasarkan kepada arahannya (daripada rakaman video), saya mendapati ia membawa kepada plantif yakin mereka mempunyai masa 10 minit untuk bersurai," katanya.Maka, katanya, beliau mendapati penahanan itu tidak sah biar pun mereka dibenarkan berjalan untuk 10 minit.

"Saya juga mendapati plantif dinafikan hak diwakili undang-undang sepanjang tempoh tahanan. Oleh itu, plaintif adalah secara tidak sah ditahan dan tahanan mereka itu juga adalah tidak sah mengikut undang-undang," katanya.

Hakim juga memerintahkan defendan untuk membayar RM5,454 kepada Paulsen untuk tiket penerbangannya pergi balik dari Afrika Selatan ke Malaysia untuk menghadiri prosiding mahkamah.

O'Hara bagaimanapun, memutuskan bahawa Peguam Negara mempunyai prerogative di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan budi bicaranya untuk memulakan prosiding.

Tambahnya, pendakwaan terhadap plaintif di mahkamah tidak dijalankan dengan tidak jujur.

Penangkapan dan penahanan enam peguam hak asasi manusia dan aktivis itu membawa mereka ditahan sepanjang malam dalam lokap polis dan didakwa di Mahkamah Sesyen keesokan harinya dalam perhimpunan tidak sah dengan niat menyebabkan kacau ganggu awam mengikut Seksyen 143 dan 145 Kanun Keseksaan. Mereka juga berdepan tuduhan alternatif di bawah Seksyen 27 Akta Polis atas tuduhan perhimpunan haram.

Selain tangkapan dan tahanan tidak sah itu, peguam dan aktivis itu turut mendakwa mereka adalah mangsa pendakwaan jahat. Mereka berkata, ketika pertuduhan, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berniat tidak jujur apabila membantah permohonan jamin mendakwa mereka tidak mematuhi amaran polis. Mahkamah Sesyen bagaimanapun membenarkan bon personal RM2,000 tanpa penjamin.

Kes mereka didengar pada 16 April 2009 di mana keenam-enam mereka dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Menurut kenyataan tuntutan, mereka mendakwa mereka dibenarkan menyertai jalan kaki aman itu untuk 10 minit tetapi sebelum tamat tempoh 10 minit itu, mereka dikelilingi sekumpulan besar anggota polis.

Mereka berkata, polis mengarahkan mereka bersurai tetapi sementara melakukannya (bersurai), mereka ditangkap.Defendan pada awalnya memohon membatalkan tuntutan itu dan permohonan itu dibenarkan di Mahkamah Tinggi pada 6 April 2011.

Plantif bagaimanapun, memohon untuk menghidupkan semula tuntutan itu dan dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Julai 2011. Perkara itu kemudian dibicarakan dengan plantif dan defendan masing-masing memanggil sembilan dan 10 saksi.

Peguam, Edmund Bon dan Chan Yen Hui mewakili enam plaintif itu sementara Peguam Kanan Persekutuan, Nadia Hanim Tajudin dan Lailawati Ali mewakili defendan.

Bercakap kepada pemberita, Bon berkata, keputusan mahkamah hari ini adalah `demokrasi hebat untuk hak asasi manusia'.

"Tuntutan ini difailkan untuk menegakkan kebebasan perhimpunan, bukan untuk wang. Ini adalah kemenangan hebat kepada aktivis sosial untuk kebebasan mengadakan perhimpunan," katanya.

Surendran berkata:"Keputusan ini adalah pengakhiran sejarah kepada kekejaman Akta Polis dan ia menunjukkan indikmen kepada pasukan polis.

"Kami ditangkap secara tidak sah dan hak undang-undang kami dirampas. Tangkapan kami bermotivasikan politik di bawah arahan Barisan Nasional untuk menutup mulut pembangkang dan aktivis yang berjuang untuk reformasi negara," katanya.

Sementara itu, Paulsen berkata daripada video, orang ramai boleh melihat peserta jalan kaki itu kira-kira 100 orang tetapi dikepung oleh hamper 500 pegawai polis. "Polis sepatutnya menangkap penjenayah sebenar," katanya. 

   

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP