Saya cuba mencari ruang untuk merakamkan pandangan penyokong akar umbi PAS dan Pakatan Rakyat, termasuk yang temui semasa perarakan Black505, 22 Jun lalu. Kebanyakan mereka datang dari luar ibu kota, mewakili hampir seluruh pelosok tanahair, dan mempunyai keprihatinan yang cukup tinggi dalam usaha memperkasakan parti menjelang PRU14.
"Kita memang patut teruskan bantahan terhadap SPR dan lebih bertegas mendesak Pengerusi dan Timbalan Pengerusinya meletakkan jawatan, tetapi jangan lupa pula bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk memantapkan lagi parti, terutama di kawasan majoriti Melayu," kata seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai aktivis PAS dari Johor. Beliau datang berkumpulan, bersama lebih 20 rakan yang mahu Parti Islam terus diperkasakan, dengan disiplin ahli-ahli yang lebih ketat.
"Eloklah dalam tempoh empat atau lima tahun ini, terutama untuk dua tahun pertama," tambah rakannya yang kelihatan lebih muda, mungkin dalam usia awal 20-an, "kita perbetulkan apa yang silap, koreksi kelemahan diri, periksa mengapa sokongan pengundi Melayu masih terbatas. Ia bukan hanya menyentuh PAS tetapi juga rakan-rakan dalam Pakatan. Persepsi negatif pengundi juga disebabkan oleh kenyataan dan tindakan kita sendiri."
Beliau sempat membisikkan rasa terganggu dengan situasi menjelang muktamar PAS, November ini. "Tapi lebih elok bersaing secara sihat dalam pemilihan kali ini, daripada berbalah dekat PRU14 nanti," katanya, ketawa kecil. "Saya nampak ada bibit-bibit perpecahan disebabkan isu-isu yang ditimbulkan agak personal dan kontroversial," sambungnya, perlahan.
"Biasalah," pintas saya, "PAS sebuah parti besar, ahli-ahlinya mewakili masyarakat yang lebih kompleks, kita patut lebih profesional menguruskan perbedaaan pendapat dan kemajmukan idea. Kalau nak menang, PAS tidak boleh terpisah daripada kerencaman dalam negara kita, itu belum kira Sabah dan Sarawak lagi."
Seorang anak muda dari Jerlun, beria-ia meminta pendapatnya, terutama mengenai kekalahan Pakatan di Kedah, dapat dikongsi bersama dengan pembaca kolum ini. Walaupun menyedari saya agak keletihan selepas berjalan lebih 2km, dan terpaksa mencari tempat duduk di tengah pembahagi jalan, dia tetap bersemangat untuk "mempengaruhi" saya.
"Kita sepatutnya lebih menumpukan fokus untuk membina dan membangunkan insan di Kedah sepanjang lima tahun berkuasa, seperti yang ditunjukkan Tok Guru Nik Nik Aziz di Kelantan selama lebih 23 tahun. Saya tak pasti apakah surau dan masjid dapat diimarahkan sebaiknya sejak 2008," ujarnya.
"Saya rasa kita sedikit terabai dalam aspek tarbiyah, untuk memperkukuhkan kesinambungan parti, terutama bagi memastikan anak-anak ahli PAS tetap menyokong perjuangan kita. Nampak agak kurang program ke arah itu, yang banyak ditekankan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor dulu," tambahnya, sambil mengharapkan tidak wujud sikap saling menyalahkan di atas kemenangan BN di Kedah pada PRU13 lalu. Beliau tetap mengkagumi Ustaz Azizan Abd Razak dan realistik dengan sumbangan besarnya.
Semasa saya berjalan balik dan menunggu kereta yang dipandu anak saya, berhampiran Bank Negara, tiba-tiba seorang sahabat lama muncul. Beliau pernah bersama-sama memeriahkan alam kampus pada 1980-an dan kini seorang ahli perniagaan yang berjaya.
Setelah bertanya khabar dan berkongsi pandangan mengenai keputusan PRU13, dia meluahkan kebimbangan: "Aku risau dengan anak-anak muda yang bersemangat menuntut perubahan, bersedia mempertaruhkan masa depan, komited dengan idealisme, tetapi nampak macam tidak begitu rapat dengan PAS. Kenapa ya?"
Sebelum saya menjawab, dia mempersoalkan prestasi dan nasib Parti Islam di Indonesia. "Kau mungkin lebih tahu tentang PKS, mengapa banyak sangat kes negatif yang melandanya sedangkan satu ketika dulu PKS nampak cukup berpotensi? Benarkah mereka tidak tahan uji dengan sedikit kuasa yang dipinjamkan?"
"Aku harap PAS tak begitu, 'kan?" katanya sambil tersenyum. "Alhamdulillah, aku perhatikan kawan-kawan lama dalam PAS masih berprinsip. Harapnya, ahli-ahli Parlimen PAS, terutama yang baru, rajin buat kajian, tekun menelaah, dan ada jaringan yang kuat dengan sumber maklumat. Orang lebih puji seorang dua bintang dalam KeADILan dan DAP, dan tak sebut pun dari PAS ... kena ambil perhatian berat itu."
Saya cuba mengajaknya ke sebuah restoran nasi kandar di Jalan Tunku Abdul Rahman, untuk melanjutkan perbincangan pada petang Sabtu itu, terutama untuk menjawab kerisauannya tentang PAS, tetapi dia mengelak. Ada majlis yang penting yang mesti dihadirinya sebelum jam 6 petang. Saya terpaksa menyimpan dahulu jawapan di atas persoalannnya itu ....
Ahmad Lutfi Othman,
Friday, 5 July 2013
Tipu PRU13: Suara hati penyokong PAS
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
Semuanya boleh berlaku . Pengkhianat yang mengkhianat kumpulan politik boleh menjadi Perdana Menteri,Menteri dan pelbagai jawatan. ...
-
Isu Nabil maharaja lawak mega 2013 yg tidak sensitif memalukan juri nampak desperate sungguh cuba buat lawak agak bodoh dan kes ini ju...
0 comments:
Post a Comment