Saturday, 11 May 2013

Husam Akan Tentang Golongan Yang Kaut Balak

KUALA LUMPUR, 11 Mei — Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Husam Musa tidak terkilan kerana tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri tetapi menegaskan akan memperbetulkan jika kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakcob lari dari landasan Islam dan melakukan aktiviti ‘duniawi’ seperti ‘mengaut balak’.

Husam baru-baru ini tidak dilantik semula sebagai Exco kerajaan negeri selepas bekas menteri besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan kepimpinan negeri kepada Ahmad yang sebelum ini merupakan timbalan menteri besar.

“Tetapi kalau kerajaan ini bersifat duniawi yang nak mengaut balak, lombong, Nauzubillah… Ampunkan saya kalau saya berdiri di dalam dewan untuk memperbetulkan kerajaan,” kata Naib Presiden PAS itu dipetik dari Sinar Harian Online.

“Saya masuk dalam perjuangan ini bukan main-main. Saya masuk ini untuk melihatkan apa yang kita usrahkan Islam yang syumul, Islam yang komprehensif, yang menjaga khazanah negeri dan negara supaya miskin dan yatim piatu, mereka itu dibela dan Islam menjadi model. Ini cita-cita saya,” tambah beliau lagi.

Husam (gambar) yang naik dalam politik bermula dengan menjadi “orang belakang” Nik Aziz ditamatkan kariernya dalam kerajaan negeri Kelantan sebaik sahaja bekas menteri besar bersara dari memimpin negeri.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu sekali lagi berjaya memimpin parti Islam tersebut untuk menang dalam Pilihan Raya 2013 menyaksikan Pakatan Rakyat (PR) berjaya mendapat 32 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekaligus mempertahankan negeri yang diperintah semenjak 1990.
Pada PRU13 PAS menguasai 32 kerusi DUN berbanding Barisan Nasional (BN) yang menang di 12 kerusi manakala PKR satu kerusi.

Ahmad, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS I Kelantan, menang kerusi DUN Pasir Pekan dengan mengalahkan calon BN Nik Noriza Nik Salleh dengan majoriti 5,644 undi.

Husam tewas di kerusi Parlimen Putrajaya di tangan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan tetapi berjaya mengekalkan kerusi DUN Salor.

Selain Husam, pemimpin-pemimpin kanan PAS yang turut kalah dalam PRU13 adalah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa Pusat Dr Dzulkefly Ahmad.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP