JINJANG 22 MEI: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, anak-anak muda di Malaysia seperti Adam Adli Halim adalah harapan baru yang akan membawa obor perjuangan rakyat.
“Anak muda yang akan membawa obor perjuangan, membawa masa depan yang gemilang.
“Anak muda yang bersemangat akan membawa masa depan yang lebih baik kerana ada orang seperti Adam Adli,” kata Wan Azizah di hadapan 1,000 hadirin pada program nyalaan lilin ‘Bebaskan Adam Adli’ di depan Lokap Berpusat Kuala Lumpur, dekat sini malam tadi.
Justeru Wan Azizah yakin, sokongan kuat rakyat terutamanya golongan muda yang berhimpun secara aman dapat membuka hati pemerintah untuk membebaskan aktivis mahasiswa itu dalam masa terdekat.
“Saya doakan semangatnya akan menjadi lebih kuat dan membuka hati semua orang. Teruskan berjuang. Kita yakin kita akan menang. Hidup rakyat!” katanya disambut tepukan gemuruh.
Turut hadir, Pengarah Komunikasi dan Ahli Biro Politik KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Sivarasa Rasiah; Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel termasuk ratusan aktivis NGO dan mahasiswa.
Beberapa peniaga t-shirt dan makanan turut mengambil kesempatan atas kehadiran ramai untuk membuka warung masing-masing membuat jualan.
Malah, beberapa kumpulan buskers jalanan turut membuat persembahan muzik akustik dan bacaan puisi, sambil diperhatikan kira-kira 30 anggota polis yang berpakaian preman.
Difahamkan, kempen pembebasan Adam diteruskan petang esok melalui program ‘flashmob Bebaskan Adam Adli’ di beberapa bandar utama termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang dan Johor.
Hari ini masuk hari kelima penahanan aktivis mahasiswa itu mengikut Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 4 Akta Hasutan berikutan ucapannya dalam program anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia 13 Mei lalu.
0 comments:
Post a Comment