Thursday 30 May 2013

Polis Tendang Wanita Dapat Surat Penghargaan

Peguam Sivamalar Genapathy menggesa polis agar turut menyiasat dakwaan seorang peguam wanita yang didakwa ditendang oleh anggota pasukan tersebut dalam satu perhimpunan nyalaan lilin di Jinjang, Kuala Lumpur pada malam 22 Mei lalu.

Sivamalar berkata, polis seharusnya bertindak demikian, dan bukan hanya mengeluarkan surat penghargaan kepada anggotanya yang didakwa dimaki hamun oleh peserta perhimpunan dalam kejadian tersebut.


"Polis sepatutnya menyiasat perkara sebenar yang berlaku pada malam itu. Seorang peguam perempuan, Fadiah Nadwa Fikri ditendang polis pada malam itu dan polis pula terima surat penghargaan," dakwanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR pagi ini.

Sivamalar berkata demikian apabila mengulas satu laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini berserta gambar yang merakamkan kejadian di hadapan balai berkenaan.

Laporan berkenaan adalah berhubung surat penghargaan oleh pasukan polis kepada seorang konstabel, Muhalim Osop, yang dilaporkan sabar menghadapi caci hamun peserta perhimpunan berkenaan.

Sivamalar dalam gambar bersama laporan itu pula ditunjukkan dalam keadaan marah dan menuding jari ke arah seorang anggota polis.

'Siasatan buang masa'

Sivamalar mewakili MP Subang R Sivarasa yang disiasat polis hari ini berhubung kehadirannya di perhimpunan sama.

Sivarasa berkata, beliau dimaklumkan oleh pasukan polis dari IPD Sentul berkenaan bahawa beliau disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berpendapat, polis membuang masa kerana terpaksa hadir untuk merakam kenyataannya di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

"Semua ini bagi saya adalah perkara yang mereka sudah tahu, sebab yang hadir malam itu bukan satu atau dua orang polis tetapi berpuluh-puluh orang dan sebahagian polis dilengkapi video kamera.

"Kalau pegawai kanan dipaksa buang masa dengan perkara ini, saya risau kadar jenayah tidak akan berkurangan," katanya.

'Polis sembunyikan diri'

Sementara itu, Fadiah dalam laporan polisnya mendakwa pegawai polis yang menendangnya dalam kejadian tersebut menyembunyikan diri selepas melepaskan sepakan berkenaan.

"Saya yang berdiri di dalam penghadang jalan secara tiba-tiba disepak oleh seorang pegawai polis yang berada di belakang saya.

"Beliau kemudiannya dengan pantas beredar ke belakang untuk menyembunyikan diri," kata peguam muda itu dalam laporannya bertarikh 23 Mei.

Selain Fadiah, dua lagi peserta perhimpunan juga mendakwa dipukul anggota polis pada malam tersebut turut membuat laporan polis.

Kedua-dua orang berkenaan merupakan antara 18 orang yang ditahan apabila polis menyuraikan perhimpunan bagi menggesa polis membebaskan aktivis siswa Adam Adli.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP