SERDANG - Isteri pertama seorang pemimpin politik di negeri ini mendakwa hidup dalam keadaan trauma selepas isteri kedua suaminya datang menyerang kediamannya di sebuah taman perumahan, dekat sini, pagi kelmarin.
Kejadian itu menyebabkan lima anaknya berusia 3 hingga 12 tahun yang kebetulan berada di rumah menangis ketakutan berikutan wanita terbabit dikatakan menghentak pintu rumahnya berkali-kali hingga mengalami kerosakan.
Mangsa, 42, berkata, kejadian bermula kira-kira jam 10 pagi apabila pintu rumahnya diketuk beberapa kali.
Mendengar ketukan itu, anak perempuannya yang berusia 12 tahun membuka pintu untuk melihat siapa yang berada di luar.
Sebaik membuka pintu dan terlihat wajah isteri kedua suaminya, mangsa menyuruh anaknya menutup pintu.
Geram dengan tindakan anak mangsa, wanita terbabit dikatakan menggoncang pintu jeriji rumah itu berkali-kali.
Mangsa mendakwa, wanita terbabit turut mengeluarkan kata-kata kesat dan memaksa anaknya membuka pintu.
“Ketika itu saya dengar dia seperti menyuruh seseorang mengambil tukul dan parang sebelum terdengar bunyi hentakan dan pukulan bertalu-talu di pintu kediaman rumah pangsa yang saya diami bersama anak-anak.
“Kesemua anak menangis ketakutan, manakala ibu saya yang uzur berusia 77 tahun turut tinggal bersama terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, wanita terbabit terus bertindak agresif menjerit-jerit di luar rumah, selain memecahkan pasu bunga dan mendakwa mempunyai waran tangkap.
"Wanita itu datang ke rumah saya untuk mengadakan perbincangan, namun tidak dapat dipastikan ia mengenai apa.
"Saya juga nampak suami berada di tempat letak kereta ketika wanita itu datang menyerang," katanya.
Disebabkan terlalu takut, mangsa menghubungi polis peronda sebelum membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan.
“Saya terpaksa buat laporan kerana bimbang keselamatan anak-anak tambahan pula pernah berlaku kes polis apabila suami memukul anak kedua sehingga terpaksa mendapat rawatan di hospital,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, mangsa sebelum ini pernah membuat hampir 10 laporan polis berhubung gangguan diterima daripada wanita terbabit dan suaminya sejak tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment