Friday, 17 May 2013

Tiada MOU antara Azizan dan Mukhriz

PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Kedah menafikan ada perjanjian persefahaman (MOU) antara Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan Menteri Besar baru, Datuk Mukhriz Mahathir.

Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Ketua Penerangan PAS negeri, bagaimanapun, mengesahkan Azizan ada bertemu Mukhriz di Mesir sebagaimana dakwaan pihak tertentu.


“Saya ada bersama rombongan Ust Azizan ke Al-Azhar Mesir merundingkan penubuhan Pusat Bahasa Arab di Kedah. Turut serta ialah Ust Abdul Ghani Ahmad yang bertanding menentang Mukhriz di DUN Air Hitam, Dr Rohani (DUN Jitra), Saiful Izham Ramli, Sarina, Zulkifli Yahya, Cikgu Zakiah dan lain-lain.

“Ketika bersarapan pagi di cafe, terserempak dengan Datuk Mukhriz dan rombongannya nak ke Gaza.

“Ustaz (Azizan) hanya menyapa, bersalam, bertanya khabar, bila sampai bila balik, mana destinasi. Tak sampai pun lima minit, kami menuju Al-Azhar, depa masih bersarapan.

“Dari mana datangnya MoU? Celakalah mereka yang mereka cerita memfitnah pimpinan gerakan Islam ini…Allah membandingkan dosa fitnah lebih besar daripada dosa membunuh. Bertaubatlah.

“Mencipta dan menyebar fitnah terhadap pimpinan yang sedang bersabung nyawa bagaikan mainan ,” kata Muhammad Sanusi.

Beliau dipercayai menjawab dakwaan pihak tertentu bahawa Azizan mempunyai perjanjian dengan Mukhriz di Mesir sebelum pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Kedah yang diperintah PAS sejak tahun 2008 dirampas Barisan Nasional.

Azizan kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang, dan dua kakinya telah dipotong akibat serangan penyakit kencing manis.

Syaitan iblis menyebar berita

Muhammad Sanusi menambah, kumpulan yang mereka-reka cerita itu hendak menjadi syaitan iblis menyebar berita merata dunia.

Katanya, kumpulan ini bukan ahli tetapi mahu mengatur pimpinan, dasar dan strategi jemaah, jika tidak dilayan, dicaci maki dan difitnah.

Abdul Ghani pula berkata, ia setakat berjumpa di kaunter hotel sahaja dan bertanya khabar bila datang dan berapa lama di Palestin.

Di Hatyai pula terlibat dalam delegasi usahawan Kedah bersama rombongan MITI.

“Itu sahaja. Mana dia MOU tu. Bacul sungguh penyebar fitnah ni,” katanya.

Abdul Ghani mendakwa, fitnah itu juga yang dimainkan oleh ahli dan pimpinan PAS di Jerlun yang mengatakan beliau ada buat MOU dengan Mukriz di Hatyai dan Mesir.

“Siap maki lagi dalam SMS. Suruh datang mari bersemuka tak angkat call (panggilan). Ni lah salah satu punca bila ahli PAS sendiri suka calon PAS kalah,” katanya.

Saiful Izham turut mengesahkan penjelasan mengenai pertemuan di cafe hotel semasa makan pagi di Kaherah sebelum bertolak untuk program rasmi di Universiti Al Azhar.

Beliau mendakwa beliau sarapan semeja bersama Azizan dan dua orang anaknya.

“Saya yang turun bersama-sama beliau dari bilik penginapan beliau sehingga ke cafe hotel. Mukhriz yang ketika itu bersama-sama Fathul Bari Mat Jahaya dan dua yang lain datang menyapa Ustaz dan bertanyakan khabar kesihatan beliau serta acara lawatan rasmi ke Mesir,” katanya lagi.

Sepatutnya, kata Saiful Izham kita bermuhasabah menelusuri kembali punca kekalahan dan mencari jawapan untuk merungkai punca, bukannya saling menuding jari dan mencipta fitnah.

Saling menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah dan persoalan bahkan ianya akan melebarkan retak dalam jemaah, kata beliau.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP