JOHOR BAHRU – Segelintir penduduk dari negeri lain dikhabarkan sedang berebut-rebut untuk menukar rujukan angka tengah pada kad pengenalan kepada nombor ’01’ yang menandakan mereka lahir di Johor.
Malah ada sanggup bayar dengan jumlah wang yang tinggi bagi mendapatkan ‘keistimewaan’ itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.
Beliau berkata, isu tersebut adalah mustahil dilakukan dan pihaknya telah dimaklumkan mengenai kewujudan ‘ejen’ yang meminta bayaran sehingga ribuan ringgit konon untuk perkhidmatan pelik itu.
Namun orang ramai juga diingatkan supaya tidak terpedaya dengan ejen penipuan itu, lapor portal The Star.
Siew Kiong mendedahkan beliau pernah ditanya oleh penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur berhubung kaedah penukaran nombor Mykad mereka kepada angka “01”, namun beliau menegaskan perkara itu mustahil.
“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk tinggal dan menjalankan perniagaan di Johor. Anda tidak perlu tukar nombor MyKad anda untuk tinggal di negeri ini.”
Ketika ditanya mengapa ada yang sanggup bersusah payah menukar nombor MyKad mereka, beliau percaya ia disebabkan oleh terma “Bangsa Johor” yang digunakan untuk merujuk kepada mereka yang lahir di negeri Johor.
Ia juga mungkin kerana pengenalan konsep “Johor Muafakat” oleh pihak kerajaan negeri Barisan Nasional yang mula menarik ramai orang luar untuk menjadi penduduk Johor.
Selain itu, katanya negeri tersebut juga makmur dengan pembangunan stabil dan rakyat dalam kalangan pelbagai bangsa dapat tinggal bersama secara harmoni. – MYNEWSHUB.CC
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment