Thursday 19 May 2016

'Tak boleh guna surat Anwar untuk kekalkan Najib'



Nukilan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi peringatan kepada pemimpin PKR supaya tidak terbawa-bawa dengan Deklarasi Rakyat, tidak boleh digunakan sebagai alasan Datuk Seri Najib Razak tidak perlu berundur.

Bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata ini kerana mana mungkin Anwar lupakan 1.27 juta tandatangan rakyat Malaysia yang mahukan perdana menteri itu berundur.

Sebaliknya, ADUN Salor berkata, dalam surat tersebut Anwar menyatakan deklarasi 'ok' tetapi jangan dilupakan agenda tranformasinya.

"Ini perlu diambil maklum oleh pihak Deklarasi Rakyat. Perkara tersebut juga sebahagiannya telah dimasukkan dalam Deklarasi Rakyat," tegas Husam.

"Tidak boleh gunakan surat tersebut kononnya Anwar tak minat Najib berhenti, Najib kena berhenti (jadi PM).

"Anwar menghargai 1.27 juta penandatangan Deklarasi Rakyat, tak mungkin Anwar lupakan tandatangan 1.27 juta rakyat Malaysia," kata Husam kepada pemberita.

Husam berkata demikian selepas majlis Dialog bersama Husam di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH), Kuala Lumpur malam tadi.

Dalam surat lapan halaman yang tersebar Isnin lalu, Anwar mengejutkan banyak pihak dengan kritikan terbuka terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Deklarasi Rakyat selain menyentuh pelbagai isu, daripada masalah keteguhan perjuangan dalam PKR kepada kelicikan politik Malaysia.

Selain Mahathir, Tun Daim Zainuddin yang dilihat 'orang kanan' perdana menteri keempat itu serta Tengku Razaleigh Hamzah tidak terlepas daripada kritikan Anwar.

Antara inti pati amanat Anwar itu ialah terdapat pemimpin PKR bersekongkol dengan Mahathir dan Daim melalui Deklarasi Rakyat sehingga menggugat perjuangan parti itu.

Menurut Anwar, Deklarasi Rakyat turut menafikan kepentingan moral untuk “reformasi terhadap demokrasi yang beramanah” dengan hanya menumpukan kepada pengunduran Najib dan jauh terpesong daripada asas perjuangan PKR untuk kebebasan dan keadilan, kedaulatan undang-undang dan melawan salah guna kuasa serta rasuah.

Sementara itu, mengulas dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan awal Jun depan Husam menasihatkan PAS agar memberikan salah satu kerusi kepada Pakatan Harapan.

Husam berkata ini kerana PAS tidak mungkin akan menang dalam dua pilihan raya tersebut tanpa sokongan pengundi Cina.

"Saya nasihatkan PAS beri satu kerusi kepada Pakatan Harapan sama ada PKR atau AMANAH kerana orang Cina tak boleh sokong PAS," katanya.

Menurutnya, apabila 35 peratus sokongan pengundi Cina sudah tidak ada, bagaimana PAS boleh menang.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong ekoran penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dari BN terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh 18 Jun depan bagi tarikh pembuangan undi serentak bagi Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP