KUALA KANGSAR: Ketidakhadiran calon BN bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid semasa tempoh berkempen tidak harus dijadikan isu oleh mana-mana pihak termasuk pembangkang.
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata ketidakhadiran calon dalam kempen PRK itu bukanlah kali pertama berlaku di negara ini.
Khairy mengambil contoh ADUN Kota Alam Shah Selangor, M Manoharan yang bertanding dalam PRU12 pada 2008 tetapi tidak berkempen kerana sedang menjalani tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting, Perak.
“Manoharan yang dalam ISA bukan saja boleh bertanding, malah menang sebagai ADUN,” katanya ketika berucap pada program Pemuda Prihatin Kuala Kangsar di sini hari ini.
Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata ketidakhadiran Mastura dalam kempen PRK Kuala Kangsar kerana edah dan ia dibuat setelah mendapat nasihat daripada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.
“Mufti Perak beritahu hukum edah itu memang betul, beliau tidak boleh keluar rumah, tapi tidak dihalang untuk bertanding,” kata Khairy.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mastura yang juga balu Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad dipilih sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar.
Mastura, 55, menerusi tayangan video berkata beliau tidak dapat menyertai kempen yang dijadual bermula 5 Jun depan kerana masih berada dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana ditetapkan dalam hukum agama Islam apabila seseorang wanita kematian suami.
Selain itu, Khairy mengajak semua Pemuda UMNO dan BN supaya sama-sama membantu kemenangan Mastura dalam PRK Kuala Kangsar selain meningkatkan jumlah majoriti undi.
“Kemenangan ini penting untuk kita teruskan pembangunan di Kuala Kangsar, bawa perubahan sebagaimana yang menjadi hasrat Wan Khair-il Anuar,” katanya.
Pada PRU13, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.
PRK Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan pada 18 Jun depan berikutan kematian Wan Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
–– BERNAMA
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment