KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji tidak akan sesekali meninggalkan UMNO sekiranya berlaku perselisihan faham dengan penggantinya pada masa akan datang.
Najib berkata UMNO ialah parti keramat yang paling banyak berjasa kepada orang Melayu, rakyat, keluarganya dan dirinya sendiri.
“Macam saya sebut kalau takdirnya satu hari saya berselisih faham dengan pengganti saya, saya takkan keluar UMNO.
“Sebab saya tahu UMNO ini parti yang terlalu besar dan banyak berjasa kepada orang Melayu, rakyat, keluarga saya dan pada diri saya. Saya takkan khianati parti UMNO sehingga akhir hayat,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Najib yang juga presiden parti terbesar orang Melayu itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Ulang Tahun UMNO ke-70 di sini.
Kenyataan Najib itu merujuk kepada penarikan diri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad daripada UMNO.
Pada 29 Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan keluar parti.
Ahli politik veteran itu berkata keputusan itu dibuat berikutan parti di bawah kepimpinan Najib tidak lagi sama dengan UMNO dulu.
“Pada saya, ia bukan lagi parti UMNO, tetapi parti Najib. UMNO kini hana menyokong Najib, ‘melindungi’ Najib dan saya tidak boleh menjadi ahli parti sedemikian,” katanya.
Sementara itu, Najib juga menyeru semangat UMNO yang dulu iaitu pada awal penubuhannya terus kekal dalam jiwa setiap ahlinya.
“Kalau kita hayati nafas bertiup UMNO itu, Insya-Allah UMNO akan terus berkuasa,” katanya.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment