KUALA LUMPUR, 18 Mei — Jabatan Imigresen telah mengesahkan sebuah peruntukan baru melarang rakyat Malaysia daripada keluar negara selama tiga tahun jika menjejaskan nama baik atau mencemuh kerajaan dalam apa jua cara.
Menurut laporan The Star, peruntukan yang dikuatkuasakan sejak beberapa bulan lepas itu juga menghalang mereka yang berbuat demikian semasa di luar negara untuk keluar selama tiga tahun setelah pulang ke Malaysia.
“Pasport antarabangsa Malaysia adalah dokumen perjalanan yang dikeluarkan kerajaan dibawah naungan Yang di-Pertuan Agong,” kata ketua pengarahnya Datuk Sakib Kusmi kepada akhbar itu.
“Oleh itu, kerajaan mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan, menangguhkan atau membatalkan dokumen perjalanan.”
The Star terdahulu memetik seorang sumber tidak bernama yang mendedahkan bahawa tindakan Jabatan Imigresen itu dilakukan setelah diminta oleh agensi penguatkuasaan seperti pihak polis.
Sumber itu juga mendakwa bahawa hanya Sakib akan diberi kuasa untuk meneliti rayuan individu yang dilarang keluar.
Namun, Sakib tidak memaklumkan jumlah rakyat Malaysia yang telah dihalang keluar atas alasan tersebut.
Ahad lepas, pengerusi NGO Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, telah dilarang keluar negara untuk ke Korea Selatan bagi menerima anugerah hak asasi manusia.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment