Thursday, 7 March 2013

Ceroboh Sabah: MILF Tidak Mahu Terlibat..

JOHOR BAHARU – Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kumpulan pemberontak terbesar di Filipina, tidak terlibat dalam konfrontasi antara penceroboh bersenjata Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia di timur Sabah. Pengerusinya Al-Haj Murad Ebrahim berkata, masalah antara kumpulan pengganas itu dengan pasukan keselamatan Malaysia di Lahad Datu dan Semporna perlu diselesaikan Kuala Lumpur dan Manila.

“Masalah di sana ialah antara kerajaan Malaysia dan Filipina. Kami serah kepada mereka untuk menyelesaikannya.


“Orang kami tidak terlibat dengan pencerobohan itu. Kami tak mahu terlibat dalam perkara ini, kami tak mahu menyulitkan lagi keadaan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif melalui telefon dari kubunya di Kem Darapanan di Sultan Kudarat, Maguindanao, selatan Filipina hari ini.

Setelah rundingan yang diadakan selama tiga minggu menemui kegagalan, apabila pasukan keselamatan negara diserang hendap kumpulan pengganas itu dalam dua insiden, Malaysia semalam mengambil tindakan ofensif menggunakan jet pejuang
dan tentera yang menggunakan kereta perisai untuk menggempur Kampung Tanduo, Lahad Datu, yang menjadi tempat persembunyian mereka.

Lapan anggota polis terkorban dalam dua insiden serang hendap itu – dua di Lahad Datu dan enam di Semporna – manakala di pihak pengganas, 18 orang terbunuh.

Operasi sebelum Subuh (semalam) dikenali sebagai ‘Op Daulat’ itu mencapai matlamatnya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Operasi membanteras pengganas melibatkan lebih 2,000 anggota polis dan tentera itu kini diteruskan.

Diminta memberi pandangan tentang tindakan kumpulan berkenaan menceroboh timur Sabah, pengerusi MILF itu berkata beliau tidak boleh memberi ulasan, sejajar dengan pendirian barisan itu yang tidak mahu campur tangan dalam isu berkenaan.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan Malaysia dan pihak pengganas dapat menyelesaikan perkara itu secara aman.

Sememangnya Malaysia mahu menyelesaikan perkara itu secara aman sebelum ini, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa kali melanjutkan tempoh akhir kepada pengganas terbabit untuk meninggalkan Kampung Tanduo dan pulang ke Filipina.

Bagaimanapun, usaha Najib untuk mengelak berlakunya pertumpahan darah itu tidak dihiraukan kumpulan berkenaan dan mereka terus menduduki Kampung Tanduo.

Mengenai laporan dari Filipina bahawa para pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) bersiap sedia untuk membantu dan menyertai kumpulan pengganas itu, Al-Haj Murad berkata beliau tidak tahu menahu tentang perkara itu kerana ia melibatkan kumpulan lain.

Ditanya sama ada perjajiian damai antara pihaknya dan kerajaan Filipina, yang ditaja Malaysia, terjejas akibat pencerobohan di Sabah, beliau berkata perkara itu tidak timbul.

“Proses damai antara MILF dan kerajaan Filipina ialah perkara berasingan dan tidak akan tergendala kerana kejadian di Sabah itu. Proses damai ini sedang diteruskan,” katanya.

Beliau berkata anggota pasukan perunding MILF dan kerajaan Filipina dijangka bertemu di Kuala Lumpur untuk mengadakan rundingan pusingan akhir mereka pada minggu terakhir bulan ini.

MILF dan kerajaan Filipina menandatangani perjanjian rangka kerja bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak sekian lama antara kedua-duanya yang mengakibatkan beribu-ribu nyawa melayang dan menyebabkan wilayah Mindanao yang kaya dengan sumber asli, tidak dapat dibangunkan.

Perjanjian rangka kerja antara MILF dan Manila itu ditaja Malaysia dan ditandatangani di Istana Malacanang pada 15 Okt dengan disaksikan Najib dan rakan sejawatan beliau Presiden Benigno Aquino III.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP