Saturday, 30 March 2013

BN Tak Sekuat Mana - Mahathir

ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata,Barisan Nasional (BN) akan mencapai keputusan baik pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), walaupun ia dilihat tidak kuat seperti yang diharapkan.

BN kini cuba pulih daripada 'tsunami' pilihan raya umum 2008 katanya sambil menambah, bukan mudah untuk kembali setelah mengalami kekalahan banyak kerusi dan negeri pada pilihan raya umum lalu.


"Buat kali pertama, BN tidak sekuat sebagaimana sepatutnya. BN akan mencapai keputusan baik (dalam pilihan raya umum ke-13) namun persoalannya berapa banyakkah kerusi yang akan dimenangi mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Tun Dr Mahathir di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Al-Bukhary di sini hari ini.

Katanya PRU 13 merupakan pilihan raya yang penting kerana pihak pembangkang telah melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kerajaan.

"Pembangkang telah bersatu supaya mereka boleh mencabar BN ... tetapi mereka bersatu bukan sebagai gabungan tetapi, hanya 'pakatan'. Mereka juga tidak mempunyai satu pun simbol atau mempunyai agenda khusus. saya rasa rakyat akan dapat membuat pilihan yang baik," katanya.

Terdahulu dalam ucapanya, Dr Mahathir berkata, rakyat perlu menilai kembali nikmat yang mereka kecapi ketika ini dan tidak terlalu termakan hasutan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, pada PRU13.

Katanya, tidak sepatutnya berlaku rakyat mahu menukar kerajaan pada ketika mereka menerima pelbagai faedah tetapi mengungkit apa yang mereka tidak peroleh.

"Kita suka cari kesalahan di sana sini. Ada orang tak hargai segala yang diterima. Ungkit konon negara tak bebas, kerajaan zalim...tekan rakyat, tak beri kebebasan, sedangkan kita terima macam-macam.

"Bukan ada sebab pun nak tukar kerajaan, nak tukar hanya atas sebab kebencian. Kena fikir baik-baik, utamakan orang yang berbakti, bukan kepada orang yang langsung tak boleh diterima. Kalau dia boleh jadi pemimpin buat apa tukar,"

Merujuk Kedah sekarang yang tidak mempunyai pemerintahan yang cekap, beliau berkata banyak pembangunan yang dinikmati Kedah adalah daripada kerajaan pusat dan orang yang mendapat kekayaan adalah kerana dasar kerajaan pusat.

"Kena tentukan siapa boleh siapa tak boleh (jadi kerajaan). Nak ada kerajaan yang berwibawa. Kalau tak, kita jadi mangsa. Janganlah mengundi kerana marah," katanya.

- Bernama



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP