Wednesday, 6 March 2013

Manila akan minta maaf kepada Sultan Sulu terlepas pandang surat

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Setiausaha Luar Filipina Albert del Rosario akan meminta maaf secara rasmi kepada Sultan Sulu kerana gagal bertindak selepas pengikutnya cuba mendapatkan penglibatan kerajaan sejak 2010 dalam menuntut Sabah.

Laporan The Philippine Daily Inquirer menyatakan Del Rosario yang baru pulang tengahari ini daripada Malaysia bercadang menulis surat meminta maaf kepada Agbimuddin Kiram yang mengakui dirinya putera raja Sulu, susulan surat yang dihantar kepada pentadbiran Aquino pada 2010 bagi mencari jalan menyelesaikan hal tersebut.


Agbimuddin merupakan adik kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram III yang ketika ini sedang mengetuai sekumpulan 200 penceroboh Filipina di Lahad Datu, Sabah bagi menuntut hak mereka ke atas sebahagian tanah di Borneo tersebut sejak mendarat di situ 9 Februari lalu.

“Saya berhasrat menulis surat meminta maaf,” kata Del Rosario yang dipetik dalam satu pesanan ringkas kepada Inquirer.

Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik ke laman rasmi hari ini, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) mengakui surat yang dihantar daripada Agbimuddin, dipercayai telah dihantar kepada Aquino dua hari selepas mengambil alih pentadbiran pada 2010 telah dijumpai dalam simpanan mereka.

“... surat itu telah ditemui oleh DFA. Setiausaha bertanggungjawab sepenuhnya kerana terlepas pandang,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Aquino sebelum ini berkata surat tersebut mungkin “hilang dalam kekalutan birokratik”, sementara jurucakapnya Edwin Lacierda berkata baru-baru ini Malacañang mendakwa tidak pernah menerima sebarang permintaan daripada Agbimuddin.

Menurut laporan sebelum ini, surat pertama tersebut adalah tentang ucapan tahniah kepada Aquino yang dilantik sebagai presiden baru, serta pada masa sama menggesa campur tangan kerajaan dalam tuntutan Kesultanan di Sabah dan juga memainkan peranan dalam rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Malaysia ketika itu menjadi orang tengah dalam rundingan damai.

Dalam surat tersebut juga, Agbimuddin memberitahu Aquino tentang penubuhan Majlis Tertinggi Ketetapan Diraja (ISRRC) dibawah Kesultanan, ekoran beberapa siri perundingan di Siminil, Indanan dan Kawit, di Filipina, lapor akhbar tersebut.

Agbimuddin yang merupakan pengerusi ISRRC juga menyatakan kekecewaan dikalangan pengikutnya yang tidak diendahkan selama lima dekad terhadap tuntutan di Sabah, mengakhiri kata-kata dalam suratnya dengan harapan untuk melihat “perubahan layanan dalam isu Sabah” dibawah pentadbiran Aquino.

The Inquirer melaporkan abang Agbimuddin, Sultan Jamalul dengan sendirinya telah menulis kepada Aquino pada 2011 dan juga tahun lepas tetapi tidak menerima sebarang maklum balas, kemudiaannya telah mengeluarkan “perintah diraja” membenarkan Agbimuddin untuk pulang ke “rumah asal” di Sabah dengan pengikutnya awal Februari tahun ini.

Kumpulan penceroboh bersenjata tersebut telah mendarat di Lahad Datu pada 9 Februari dan menuntut hak mereka keatas sebahagian kepulauan Borneo tersebut.

Putrajaya yang pada mulanya cuba berunding secara damai dengan penceroboh bersenjata tersebut memberitahu tidak teragak-agak untuk mengangkat senjata menentang kumpulan tersebut dan mengusir mereka keluar dari Sabah.

Sehingga semalam, masuk 22 hari sejak penceroboh tersebut mendarat, seramai 8 polis Malaysia dan 20 militan dilaporkan terkorban dalam insiden yang berlaku di tiga daerah di Sabah.

Menurut laporan daripada keluarga penceroboh di bandar Taguig, Filipina berkata kumpulan tersebut tidak merancang untuk meletak senjata dan bersedia untuk berjuang hingga akhir hayat dan percaya perjuangan mereka adalah demi masa depan kaum tersebut.

- TMI


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP