Wednesday, 23 October 2013

Sewa Homestay Di Sg. Limau Meningkat RM1500

YAN, 22 Okt: Kadar sewa rumah serta inap desa di daerah ini tiba-tiba melonjak daripada RM300 kepada RM1,500 sebulan, menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 Nov ini.

Janji mulut tidak diterima malah wang pendahuluan sekurang-kurangnya RM500 perlu dibayar dan keadaan itu tidak berhenti setakat itu kerana akan ada pihak lain sanggup menawarkan harga lebih tinggi semata-mata untuk mendapatkan tempat penginapan.


Malah perebutan mendapatkan tempat penginapan di daerah ini bukan sahaja di kalangan anggota-anggota parti politik, baik Barisan Nasional dan pakatan pembangkang, terutama dari PAS dan Parti Keadilan Rakyat, tetapi juga dari pasukan keselamatan serta pihak media.

Oleh kerana Pekan Sungai Limau terletak kira-kira 35km dari bandar raya Alor Setar dan 45km dari bandar Sungai Petani, dan untuk berulang-alik dari kedua-dua tempat itu mengambil masa hampir sejam, ramai yang lebih selesa tinggal di kawasan berdekatan DUN berkenaan.

Bagi pengusaha inap desa Norhayati Abdul Mutalib, 43, PRK ini bagaikan rahmat kepada beliau dan keluarga kerana memperoleh rezeki yang tidak disangka-sangka.

"Rumah ini baru saja saya beli dan tak duduk lagi. Dengar kata ada PRK, saya jadikannya sebagai homestay untuk jana sedikit pendapatan," kata pemilik Irtizam Homestay kepada Bernama ketika ditemui di Pekan Sungai Limau di sini.

Norhayati berkata beliau tidak meletakkan harga yang keterlaluan kerana faham kemampuan penyewa yang datang dari jauh kerana bertugas.

Beliau turut kesal dengan tindakan segelintir orang tengah yang mengambil kesempatan meletakkan harga terlalu tinggi untuk sewaan inap desa walaupun pemilik memberikan mereka kadar sewa yang berpatutan.

"Saya juga guna orang tengah untuk dapatkan penyewa tapi akhirnya saya sendiri yang cari penyewa untuk tinggal di rumah saya ini. Bukan apa kita tak mahu dilabel sebagai 'cekik darah'," katanya.

Sementara itu seorang guru di sebuah sekolah rendah di sini berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk menawarkan perkhidmatan inap desa berikutan permintaan luar biasa kerana PRK..

"Saya peroleh pendapatan RM3,500 dalam tempoh lebih dua minggu sahaja," katanya yang tidak mahu dikenali.

Sementara itu pemilik Homestay Taman Yan, Jamil Zakaria, 40, berkata pengusaha inap desa dari luar kawasan Sungai Limau, seperti di pekan Yan, Guar Chempedak dan Jerai turut mendapat faedah daripada pilihan raya kecil itu.

"Faktor jarak yang dekat dengan Sungai Limau menyebabkan semua homestay di sini telah ditempah," katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha inap desa yang hanya mahu dikenali sebagai Az berkata beliau telah menyewa tiga rumah kosong di sekitar Yan untuk disewa sebagai inap desa.

Walaupun penat membersih dan menyediakan rumah berkenaan dengan pelbagai peralatan dalam masa yang singkat, beliau merasa amat teruja kerana pendapatan yang diperolehnya amat berbaloi dengan segala usaha yang dilakukannya.-

- BERNAMA

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP