Tuesday, 29 October 2013

Pas Yakin Menang Di Sungai Limau

YAN 29 OKT: Rekod cemerlang Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak di DUN Sungai Limau akan diteruskan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan kawasan itu dalam Pilihan Raya Kecil, 4 November ini.

Calon PAS bagi PRK tersebut, Mohd Azam Abdul Samat berkata, beliau optimis dengan kerjasama Pakatan Rakyat, kerusi DUN berkenaan bukan sahaja dapat dikekalkan, malah mampu meningkatkan majoriti yang diperolehi.


Menurutnya, beliau berikrar akan meneruskan pendekatan Allahyarham Azizan dalam membantu segenap lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik sekiranya diberi mandat oleh pengundi di kawasan itu.

Katanya, antara isu yang akan dibawa dalam kempen PRK tersebut adalah kegagalan kerajaan Kedah selepas lima bulan menerajui negeri itu di bawah menteri besarnya, Datuk Mukhriz Mahathir.

"Tiada pembangunan besar yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan negeri BN sejak menerajui kepimpinan Mei yang lalu sehingga kini. Jika ada pun hanyalah dibuat oleh kerajaan Pusat sebagai tanggungjawab mereka menjadi pemerintah," jelasnya lagi.

Antaranya, kata Mohd Azam, cubaan memansuhkan skim kafalah yang diperkenalkan kerajaan terdahulu. Skim tersebut membantu mereka yang kematian keluarga untuk menerima sumbangan khairat dari kerajaan negeri.

Katanya lagi, kerajaan BN juga bertindak zalim apabila tidak membayar gaji 268 kakitangan Insaniah Holdings yang juga anak syarikat kerajaan negeri. Malah katanya, Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi diusahakan oleh kerajaan PR terdahulu
mungkin akan dibatalkan.

"Maahad Tahfiz ini adalah untuk melahirkan pelajar tahfiz yang mahir dalam ilmu sains supaya masyarakat tidak menganggap ilmu agama itu terasing dari ilmu duniawi. Selain itu ia juga untuk menyediakan peluang pekerjaan dan bekalan elektrik di mana janaan
elektrik akan disediakan di Pulau Tuba," kata Mohd Azam.

Menurutnya, kampus KUIN yang menelan kos RM330 juta di Kuala Ketil tidak dimanfaatkan oleh BN apabila melihat kejayaan tersebut hasil usaha kerajaan Pakatan terdahulu.

Dalam PRK Sungai Limau, Mohd Azam akan berdepan calon BN, Ahmad Sohaimi Lazim dalam pertandingan satu lawan satu. Pada PRU lalu, Pakatan berjaya mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti lebih 2000 undi.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP