Monday, 28 October 2013

Ramai PATI Miliki IC Palsu Dan Bekerja Sebagai Pengawal Keselamatan

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesan ramai warga asing yang memiliki kad pengenalan palsu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sektor berisiko tinggi seperti di institusi perbankan di seluruh negara.

Perkara itu dikesan menerusi beberapa serbuan yang dijalankan di seluruh negara setiap tahun dan mendapati sebahagian besar warga asing ditahan kerana memiliki kad pengenalan palsu.


Lebih membimbangkan ialah mereka ini pekerja di syarikat-syarikat keselamatan yang diberi permit yang sah kemudiannya ditugaskan dalam pelbagai industri termasuk menjaga keselamatan bank-bank seluruh negara.

Pembunuhan kejam seorang pegawai operasi AmBank, Norazita Abu Talib, 37, di Subang Jaya pada Rabu lalu, membuka mata banyak pihak terhadap mudahnya warga asing ini memperoleh kad pengenalan palsu.

Dalam kejadian pukul 6.18 petang Rabu lalu, Norazita maut ditembak di muka sejurus selepas membuka sebuah peti besi berisi wang dan suspek melarikan wang berjumlah RM450,000.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua pengawal keselamatan dan isteri suspek, kesemuanya warga Indonesia yang dipercayai bersubahat dengan penjenayah kejam itu.

Pengarah Siasatan Dan Penguatkuasaan JPN, Wan Zakaria Wan Awang mendedahkan, pihaknya telah lama mengesan perkara tersebut melalui beberapa serbuan yang dijalankan di seluruh negara.

Katanya, meskipun tangkapan terhadap mereka yang memiliki kad pengenalan palsu tidak banyak, namun pasti ada yang ditahan berkhidmat di bahagian keselamatan seperti di sektor berisiko tinggi.

Lebih mengejutkan katanya, JPN pernah menahan seorang warga Filipina yang mempunyai kad pengenalan palsu tetapi bekerja sebagai pengawal keselamatan yang menjaga stor senjata api syarikat berkenaan.

"Menerusi pengalaman saya sendiri dalam satu serbuan yang dijalankan di Lembah Klang baru-baru ini, lebih 10 warga asing ditahan atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Saya sendiri tidak terkejut apabila sekarang timbul isu pengawal keselamatan warga asing diambil bekerja di bank kerana ini sememangnya berlaku.

"Malah saya sendiri yakin masih ramai lagi pengawal keselamatan yang memiliki kad pengenalan palsu dibekalkan syarikat keselamatan untuk berkhidmat di sektor-sektor sensitif," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Utusan Malaysia semalam, mendedahkan suspek utama kes pembunuhan Allahyarham Norazita iaitu seorang pengawal keselamatan warga Indonesia dikatakan membeli kad pengenalan palsu dengan harga RM200 sahaja.

Kad pengenalan itu menjadi tiket kepadanya untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan selama setahun dan bekerja di beberapa buah bank di sekitar Lembah Klang.

Ditanya dari mana warga asing ini mudah mendapatkan kad pengenalan palsu, Wan Zakaria memberitahu, lokasinya tidak dapat dikenal pasti kerana warga asing yang melakukan kesalahan itu ditahan di banyak negeri.

"Serbuan terbesar kita adalah di Perak baru-baru ini dan banyak lagi kita kesan termasuk di Lembah Klang.

"JPN percaya mereka ini membayar kira-kira RM500 untuk mendapat sekeping kad pengenalan palsu dan mencari rezeki di negara ini," ujarnya.

Wan Zakaria turut mencadangkan agar setiap syarikat keselamatan membawa kesemua pengawal keselamatan yang mendakwa mereka memiliki kad pengenalan ke JPN untuk pemeriksaan cap jari.

Langkah mengimbas cap jari adalah yang paling berkesan kerana itu akan mengesan seseorang itu warganegara Malaysia atau sebaliknya, kata beliau.

"Malah setiap syarikat perbankan boleh melaporkan terus kepada JPN sekiranya mengesyaki pengawal keselamatan yang dibekalkan adalah warga asing menggunakan dokumen palsu.

"JPN akan melakukan serbuan untuk pemeriksaan kerana perkara sama sering dibuat terhadap kilang-kilang yang khidmat pengawal keselamatan mereka dicurigai pihak pengurusan," katanya.

- utusex

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP