Thursday, 10 October 2013

Polis Percaya Kejadian OKT Lolos Memang Dirancang

KEPALA BATAS: Polis percaya kejadian seorang kasanova yang merupakan Orang Kena Tuduh (OKT) yang meloloskan diri dari Mahkamah Sesyen di George Town petang semalam memang dirancang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kejadian lolos itu bukan disebabkan kecuaian sebaliknya pematuhan kerja tidak dilaksanakan.


"Kita percaya kes lolos itu memang dirancang, jadi ia (kes lolos) ada cerita lain di sebalik OKT itu berjaya melarikan diri semalam.

"Sebab itu kita telah tahan seorang pegawai dan siasat apa yang berlaku sebenarnya. Polis percaya dapat menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita, di sini, Khamis.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Sjn Zal-Azri Abdul Somad yang terkorban ketika menjalankan tugas di Melaka baru-baru ini, Atiqah Mohd Rosdi, 29, di Taman Bertam Indah, di sini.

Ditanya sama ada perlu penambahbaikan atau meningkatkan kawalan ketika membawa OKT atau tahanan, Khalid berkata perkara itu tidak perlu kerana Prosedur Standard Operasi (SOP) sudah mencukupi.

"Kita tidak perlu penambahbaikan atau sebagainya kerana arahan dan SOP yang sedia ada sudah mencukupi yang penting adalah pematuhan pegawai dan anggota polis yang bertugas," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pegawai dan anggota PDRM mematuhi arahan dan SOP dalam setiap tugasan dan jika gagal berbuat demikian tindakan tegas akan dikenakan.

Dalam kejadian pukul 2 petang semalam itu suspek, Prabaharan Kesavan, 45, dalam perjalanan pulang ke Penjara Pulau Pinang selepas menjalani sebutan kes peringkat akhir di Mahkamah Cameron Highlands pada Selasa lepas.

Ketika dalam perjalanan ke penjara, anggota yang mengiring OKT itu menerima panggilan dari seorang pegawai kanan polis meminta lelaki itu dibawa ke biliknya dengan alasan untuk disoal siasat atas satu lagi kes ugutan.

Susulan kejadian itu, polis menahan pegawai kanan wanita berpangkat ASP kerana dipercayai membantu OKT itu melarikan diri.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Khalid berkata sumbangan yang disalurkan hari ini adalah bagi meringankan beban isteri Allahyarham Sjn Zal-Azri yang perlu membesarkan dua anak mereka yang masih kecil.

"Kita harap sumbangan daripada Tabung Perwira, wang insurans daripada kerajaan dan kenaikan pangkat Allahyarham hari ini akan membantu isterinya membesarkan dua anak lelaki mereka," katanya.

Atiqah yang ditemui berkata beliau merancang menggunakan wang bantuan itu bagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan sambil berterima kasih kepada PDRM dan kerajaan persekutuan membantu keluarganya.

"Setakat ini belum ada perancangan untuk kerja kerana anak bongsu masih kecil lagi, mungkin akan guna wang bantuan yang diterima untuk berniaga kecil-kecilan bagi menambung perbelanjaan kami tiga beranak," katanya.

Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki iaitu Mohamad Habibullah, 4, dan Mohamad Atiqullah berusia lima bulan.

- BERNAMA


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP