Monday, 21 October 2013

Najib Nafi Atur Pemilihan Umno

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menafikan terdapat campur tangan pucuk pimpinan parti dalam proses pemilihan kali ini.

"Ada 150,000 perwakilan,  macam mana saya hendak campur tangan. Undi semua sulit. Semua orang boleh beri pandangan tetapi undi itu hak setiap perwakilan," kata Perdana Menteri dalam sidang medianya hari ini.


Sebelum ini, pelbagai pihak mendakwa wujudnya arahan daripada pucuk pimpinan Umno supaya perwakilan mengekalkan status quo terutama untuk tiga jawatan Naib Presiden Umno. 

Ia dikatakan dibuat melalui arahan kepada warload Umno di samping arahan secara langsung yang dibuat oleh pemimpin tertinggi kepada ketua bahagian Umno di seluruh negara.

Kerana takutkan kemarahan pemimpin utama Umno yang berkuasa dalam kerajaan, mereka melupakan permintaan daripada pemimpin popular mereka termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hasilnya, tiga Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussain dipilih semula perwakilan Umno dalam pemilihan semalam.

"Jelaslah yang Presiden parti itu, Mohd Najib Abdul Razak, yang menang tanpa bertanding, memperoleh apa yang beliau idamkan iaitu pengekalan status quo jawatan Naib Presiden. Sama ada beliau campur tangan secara tersurat atau tersirat, pasukan Naib Presiden beliau kekal.

"Ini baik bagi Najib tetapi tidak semestinya baik bagi Umno. Tidak ada tanda nyata bahawa Umno semakin muda, segar dan dibarisi generasi pelapis kecuali beberapa kerat yang menang kerusi biasa MT," tulis Datuk Kadir A Jasin, bekas editor akhbar pro Umno itu dalam blognya hari ini.

Namun hari ini, Najib menafikan ada campur tangan pemimpin tertinggi Umno termasuk beliau dalam pemilihan itu.

Najib berkata, persaingan sengit antara Hishammuddin dan Mukhriz sudah boleh dijangka memandangkan akar umbi Umno sudah pasti akan memilih pemimpin yang popular dan berpotensi.

"Ia sudah dijangka. Proses pemilihan terbuka. Bila diserahkan kepada akar umbi, bila ada tokoh popular tentu ada saingan. Beliau (Mukhriz) menunjukkan beliau berpotensi.

"Itu persaingan tokoh popular. Ada sokong Hishammuddin, ada pilih Mukhriz. Itu pertandingan yang sihat," katanya dalam sidang media itu. Najib sebaliknya berkata sistem "electoral collage" yang diamalkan pertama kali oleh parti Melayu itu perlu dipatuhi memandangkan ia sudah dipilih.

"Sistem electoral college itu kita gunakan untuk mengundi bagi mengimbangi bahagian besar dan kecil. Itu sistem yang kita pilih, kita kena patuh," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

– The Malaysian Insider


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP