Thursday, 24 October 2013

Hentikan Budaya Sebar Gambar Mangsa Tembak

KPN : Harus Hentikan Budaya Menyebar Gambar Mangsa Jenayah

Sejak petang tadi tersebar luas gambar seorang pegawai bank wanita, Noazita bt Abu Talib yang ditembak di bahagian muka dan mati ditempat kejadian.

Tindakan menyebarkan gambar mangsa kejadian jenayah membabitkan seorang pegawai bank wanita ditembak di muka sejak petang tadi merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.


Jika ia dilakukan oleh pegawai polis, maka tindakan tersebut merupakan satu tindakan yang tdak beretika.Ini bukan kali pertama gambar-gambar yang mengerikan membabitkan mangsa jenayah diedarkan melalui telefon dan ruang siber.

Dipercayai hampir 90% penyebaran ini dibuat oleh anggota polis yang tiba d tempat kejadian atau mengendalikan kes tersebut.

Kita tidak pasti apakah tujuan anggota polis yang pernah melakukan tindakan ini. Mereka mungkin berniat baik mahu mendapat simpati masyarakat. Tapi sebahagian besar saya percaya bertujuan mencari perhatian, sakit jiwa dan sekadar membuang masa tanpa memikirkan implikasi perkara ini kepada pelbagai pihak.

Pengedaran gambar-gambar membabitkan mangsa jenayah dan tempat kejadian jenayah (crime scene) merupakan pembocoran maklumat siasatan secara tidak langsung.

Tidak mustahil suatu hari nanti gambar-gambar ini akan menjadi pertikaian umum dan akhirnya menjejaskan siasatan dan pendakwaan.Gambar-gambar sebegini juga memberi trauma kepada keluarga mangsa dan juga rakyat biasa.

Prihatinlah sama dengan keluarga mangsa dan juga rakyat biasa yang tidak biasa melihat gambar-gambar mengerikan sedemikian. Bayangkan ahli keluarga mangsa yang melihat gambar-gambar tersebut bertebaran di ruang siber.

Bagaimanakah seorang bapa boleh menghalang anaknya daripada melihat wajah ngeri ibu yang ditembak tersebut?

Suatu ketika dahulu negara digemparkan dengan pengedaran gambar bedah siasat allahyarham adik Nurin Jazlin yang berusia 8 tahun, hilang pada 20 Ogos 2007 selepas dia pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di Kuala Lumpur.

Dua puluh tujuh hari kemudian, mayatnya ditemui dalam sebuah beg gimnasium di depan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48 di Petaling Jaya dan laporan bedah siasat mendedahkan dia didera secara seksual.Gambar tersebut dipercayai diedar oleh seorang anggota polis berpangkat lans koperal.

Apakah tindakan ke atas anggota tersebut?Sejak kebelakangan ini semakin kerap gambar dan laporan jenayah tersebar melalui telefon bimbit dan ruang siber sehinggakan ia menjadi satu kemegahan kepada penyebarnya.

Anggota polis sebagai mereka yang dilatih dengan disiplin, peraturan dan tanggungjawab sewajarnya menunjukkan empati dan simpati yang lebih kepada mangsa bukannya bersuka hati menyebarkan gambar mangsa jenayah dan maklumat tempat jenayah berlaku.

Dalam satu kes pembunuhan di Bukit Putih pada April tahun lalu (2012), Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh pernah memberi peringatan agar orang ramai jangan sewenangnya memuat turun sebarang rakaman video dan gambar bagi mana-mana kes jenayah kerana ia akan mengganggu siasatan selain mengaibkan mangsa terlibat.

Malangnya, dalam kebanyakan kes penyebaran ini dilakukan oleh para anggota sendiri berdasarkan eksklusiviti gambar dan laporan seperti laporan polis.

Saya fikir sudah masanya, Ketua Polis Negara wajar memberi peringatan serius dan juga mengambil tindakan kepada para anggota polis mengenai isu ini. Bukan kerja anggota polis membantu jualan akhbar atau rating media sosial melalui penyebaran gambar-gambar mangsa jenayah.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP