Monday 21 October 2013

Sewa kenderaan rasmi Kerajaan Persekutuan RM8 juta sebulan

SEREMBAN: Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong mendakwa Kerajaan Persekutuan membazirkan duit rakyat begitu sahaja apabila menyewa kenderaan rasmi dari sebuah konsesi sewa kereta dengan nilai sebanyak RM8 juta sebulan.

Ahli Parlimen Rasah itu berkata menurut jawapan bertulis yang beliau terima daripada Menteri Kewangan di Parlimen pada awal Oktober 2013, Kerajaan Persekutuan telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Syarikat SPANCO Sdn Bhd untuk membekalkan kereta saloon sebagai kenderaan rasmi dan kenderaan jabatan kerajaan persekutuan secara sewaan.


Katanya lagi, justeru itu, Kerajaan Persekutuan menanggung kos sewaan, selenggaraan dan pembaikan secara bulanan untuk kenderaan rasmi tersebut.

“Pada masa ini, di peringkat Kerajaan Persekutuan, kereta rasmi yang diperuntukan kepada anggota pentadbiran, Hakim dan Pegawai Perkhidmatan Awam Gred Utama Khas A ke atas dan setaraf adalah Proton Perdana Executive.

“Proton Perdana Executive yang disewa pada tahun 2008, 2009 dan 2010 masing-masing sebanyak 121 buah kereta, 105 buah kereta dan 35 buah kereta. Secara purata kos sewaan Proton Perdana Executive termasuk kos selenggaraan dan pembaikan adalah sebanyak RM4, 332.94 sebulan.

“Mulai tahun 2011, kenderaan rasmi bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Gred Utama/Khas B dan C serta setaraf, diperuntukkan Proton Inspira.

“Proton Inspira baru yang disewa pada tahun 2011, 2012 dam 2013 masing-masing sebanyak 1, 124 buah kereta, 379 buah kereta dan 644 buah kereta. Secara purata, kos sewaan Proton Inspira termasuk kos selenggaraan dan pembaikan adalah sebanyak RM3,238.20 sebulan.

“Jumlah Perdana Executive yang disewa sejak 2008 hingga 2010 adalah sebanyak 261 buah kereta. Selain itu, jumlah Proton Inspira yang disewa sejak 2011 hingga 2013 adalah sebanyak 2, 147 buah kereta.

“Secara keseluruhan, jumlah kereta saloon yang disewa untuk kenderaan rasmi adalah sebanyak 2, 408 buah kereta. Maksudnya, setiap bulan Kerajaan Persekutuan perlu membayar sebanyak RM8, 083, 312.74,” kata Teo.

Menyelidik

Teo berkata beliau telah menyelidik harga kereta sewa dengan beberapa buah syarikat yang menyewa kereta di pasaran untuk dibuat perbandingan.

“Kesemua syarikat tersebut telah tidak menyewa Perdana Executive lagi dan tidak banyak syarikat yang menyewa Proton Inspira.

Saya telah mendapati bahawa harga sewaan (termasuk harga selenggaraan dan pembaikan) bagi sebuah kereta yang setaraf dengan Perdana Executive dan Proton Inspira adalah seperti berikut.

“Sewa kereta Toyota Camry termasuk selenggaraan dan pembaikan adalah sebanyak RM4, 300 sebulan.

“Sewa kereta Toyota Altis termasuk selenggaraan dan pembaikan adalah sebanyak RM3, 200 sebulan.

“Ini telah menunjukkan bahawa pihak Kerajaan Persekutuan sebenarnya telah membayar dengan kadar yang jauh lebih tinggi daripada seorang pelanggan biasa yang ingin menyewa sebuah kereta.

“Jikalau seorang pelangan yang biasa dapat menyewa sebuah Toyota Altis dengan harga RM3, 200 sebulan, mengapakah pihak Kerajaan Persekutuan yang menyewa sebanyak 2, 147 buah Proton Inspira tidak boleh memperolehi harga sewaan yang lebih murah berbanding dengan seorang pelanggan yang biasa?

“Duit rakyat dibazirkan dengan begitu sahaja, tetapi syarikat konsesi pula mendapat keuntungan besar.

“Saya ingin mendesak Pihak kerajaan, khususnya Menteri Kewangan dapat menjawab soalan ini dan memberi penjelasan kepada semua rakyat,” katanya.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP