Dalam serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang membawa kepada penangkapan seorang Datuk dan Datuk Seri, sejumlah wang ditemui tersorok di pelbagai tempat dalam sebuah rumah, termasuk di siling.
Wang itu dikatakan berjumlah sehingga RM400,000.
Wang kertas RM50 dan RM100 itu diikat berasingan, menurut pegawai yang memeriksa rumah itu.
Sumber SPRM mendedahkan wang itu diperoleh daripada pengarah Jabatan Kerja Raya sebuah negeri yang bergelar Datuk.
Berkenaan kereta mewah pula, sumber-sumber berkata ia diletakkan di rumah saudara suspek dan SPRM dilapor menyita kereta jenis Maserati, BMW dan Audi dalam serbuan itu.
Difahamkan Datuk Seri itu berkhidmat di sebuah pihak berkuasa tempatan dan seorang lagi dengan Tenaga Nasional Bhd sebuah negeri.
Mereka antara tiga orang yang diberkas SPRM dan disiasat bawah Seksyen 17(a) dan 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla) 2001.
Sumber-sumber mendedahkan bahawa seorang Datuk Seri itu masih direman di Putrajaya manakala dua lagi akan direman di Melaka dan Kelantan esok.
Pengarah siasatan SPRM Azam Baki dalam kenyataan mengumumkan menahan tiga pegawai kanan kerajaan, selepas amaran ketua pesuruhjaya barunya Dzulkifli Ahmad.
Ketiga-tiga suspek berumur 50-an itu ditangkap hasil operasi serentak di tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.
Susulan penahanan tersebut, akaun milik ketiga-tiga individu itu yang melebihi RM13 juta dibekukan.
Ia melibatkan wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta.
Bagi kesalahan di bawah seksyen Akta SPRM 2009, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.
Bagi Akta Pengubahan Wang Haram pula, pesalah boleh penjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM 5 juta mana yang lebih tinggi.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment