Monday, 15 August 2016

PAS-Umno Perlu Bersatu Demi Islam



Penyatuan Pas dan Umno amat diperlukan bagi membolehkan pengukuhan nilai-nilai Islam yang semakin terhakis dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini akan kembali terjaga.

Pemerhati Politik, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, penyatuan ini juga akan membantu memperbetulkan salah tanggapan terhadap Islam di kalangan masyarakat.

"Perlembagaan Persekutuan sudah baik kerana menyediakan ruang kepada Islam untuk ditegakkan dalam masyarakat, cuma sebelum ini Umno dilihat kurang bersungguh mahu mendaulatkannya.

"Pada masa yang sama, Pas sebelum ini menolak Perlembagaan Persekutuan dengan menganggapnya bersifat sekular, tetapi kini elemen Islam dalam Umno makin mengukuh manakala Pas pula sudah mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan.

"Penyatuan Pas dan Umno kini menjadi lebih mudah bila kedua pihak bersetuju memartabatkan syariat Islam secara bertahap tanpa keperluan untuk merombak Perlembagaan Persekutuan bermula pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355),”katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau percaya permulaan kerjasama antara Pas dan Umno dalam isu pemartabatan kedudukan mahkamah syariah akan mendorong kepada kewujudan kerjasama lebih kuat antara kedua-dua pihak di masa hadapan.

Dr Iskandar yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kelantan berkata, banyak hikmah dapat dilihat terutamanya apabila Umno yang berhadapan dengan serangan Pakatan Harapan dan ditambah perpecahan dalaman hingga mewujudkan parti lain nampak makin bersikap terbuka dengan Pas.

"Tidak mustahil perkembangan ini akan menjadi titik mula kembali kukuhnya nilai-nilai Islam dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini, asal sahaja Pas bijak memanfaatkan ruang yang terbuka untuknya.

"Dalam keadaan sekarang, saya rasa kedua-dua pihak khususnya Pas perlu mengurangkan retorik dalam berhadapan dengan Umno, tidak perlu diulang serangan ke atas Umno sepertimana dibuat oleh parti pembangkang lain.

"Tatkala golongan bukan Islam dan golongan sekularis, liberalis, pluralis, Islam memperhebatkan kefahaman tidak betul mengenai Islam, penyatuan Pas dan Umno tentu saja diperlukan untuk membetulkan salah faham ini," katanya.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP