Wednesday, 24 August 2016

'Apa Jadi Jika Ahli DAP Kata MO1 Adalah Agong?'



Bekas anggota Umno Langkawi Anina Saadudin tertanya-tanya apa akan jadi jika anggota DAP mendakwa Malaysian Offcial 1 (MO1) adalah Yang di-Pertuan Agong.

Anina mengulas permohonan maaf anggota parlimen Umno Datuk Nawawi Ahmad kepada Agong atas kenyataannya mengenai MO1.

"Cuba bayangkan komen itu datang daripada ahli DAP, isu itu akan dimainkan di TV3, saya rasa tidak kurang satu bulan," katanya kepadaMalaysiakini.

Oleh itu, Anina berpendapat pihak polis dan Umno sendiri mesti mengambil tindakan terhadap Nawawi kerana kenyataan tersebut.

Malah katanya, permohonan maaf Nawawi kepada Agong tidak mencukupi dan beliau perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Kedah.

"Sultan Kedah adalah sultan di hati rakyat. Baginda adalah sultan di hati semua rakyat Kedah. Kalau kamu mahu memohon maaf kepada sultan, kamu juga mesti mohon maaf kepada semua rakyat Kedah," katanya.

Tambah Anina, kenyataan tersebut berkaitan perlembagaan dan sebagai seorang pemimpin, Nawawi sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

"Kenyataan itu bersangkut paut dengan perlembagaan. Kamu kata maaf dan tu sahaja? Sebagai pemimpin kena tunjuk contoh kepada rakyat. Kalau seorang pemimpin buat silap, cakap maaf dan terlepas. Rakyat boleh buat benda yang sama dan kemudian mohon maaf.

"Nanti sesiapa saja di jalan akan buat komen berkaitan Agong dan cuma cakap maaf. Polis mesti ambil tindakan, buka fail dan siasat," katanya.

Apa yang lebih mengejutkan, kata Anina, kenyataan itu datang daripada pemimpin Umno, sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan raja-raja Melayu.

"Tak sepatutnya pemimpin Umno buat kesalahan yang macam ni. Kamu kata berjuang untuk orang Melayu, untuk raja. Kamu kata DAP ancaman kepada raja-raja, orang Islam.

"Tapi kamu buat kenyataan yang sangat-sangat bercanggah dengan perjuangan kamu," katanya yang meminta Umno mengambil tindakan terhadap Nawawi.

Dalam permohonan maaf kepada Agong Isnin lalu, Nawawi melahirkan rasa kesal berhubung perkara itu dan berjanji untuk lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan di media sosial pada masa akan datang.

Ogos lalu, Nawawi dalam catatan di Facebook mendakwa MO1 tidak lain dan tidak bukan adalah Agong yang juga merupakan ketua negara ini.

Posting itu kemudian disunting untuk membuang rujukan kepada Agong empat jam kemudian, tetapi menerima kritikan meluas.

Majlis Kerabat Diraja Kedah menegur Nawawi dengan mengatakan beliau tidak sepatutnya mengheret institusi raja dalam perkara itu.

Nawawi sebelum ini mendakwa kenyataannya disalah tafsir dan bukan merujuk kepada tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

MO1 adalah individu yang didakwa oleh DOJ menerima sekurang-kurangnya AS$ 731 juta daripada AS$ 3.5 bilion yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB.

DOJ berkata ia dihalang oleh kaedah-kaedah mahkamah daripada menamakan pegawai itu dalam saman sivil berkenaan, yang mendorong spekulasi mengenai identiti sebenar MO1.

- mkini

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP