ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikatakan sengaja mempergunakan Dewan Undangan Negeri Kedah untuk menarik perhatian dan simpati orang ramai dengan membangkitkan isu yang tidak sewajarnya menjadi isu negeri.
Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata, isu-isu yang ketengahkan Mukhriz dalam dua hari sidang Dun berlangsung sebenarnya tidak membawa sebarang manfaat atau makna kepada kepentingan rakyat dan negeri.
"Apa yang dikatakan Mukhriz dalam dewan sebenarnya tidak ada apa-apa pun.
"Dia dah takdak isu, maka dia sengaja buat begitu dalam dewan untuk tarik perhatian orang ramai, padahal apa yang dia kata tak bermanfaat pun untuk kepentingan rakyat dan negeri Kedah," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com di luar dewan sejurus berucap di sidang Dun Kedah, di sini, hari ini.
Sebelum itu, Ahmad menggamatkan dewan dengan telatah dan ucapannya yang mencuit hati dengan sindiran, usikan dan kenyataan pedas yang ditujukan kepada barisan pembangkang, termasuk bekas Menteri Besar tersebut.
Beliau begitu 'gentleman' membenarkan permintaan setiap Adun pembangkang yang mohon mencelah ucapannya dan menjawab pertanyaan atau pertikaian secara pedas namun melucukan.
Ahmad turut menyulam ucapan membahas titah Tuanku Sultan Kedah di sidang Dun hari ini dengan beberapa rangkap pantun yang berjaya membuat bilik operasi media di sini turut bergema dengan gelak tawa.
Selain itu, Adun Pantai Merdeka, Ali Yahya turut senada dengan Ahmad dan mendakwa
"Kenyataan yang kecewa sebenarnya... dia lebih kecewa tidak menjadi Menteri Besar daripada isu-isu lain.
Menurut Ali, apa yang dipersoal Mukhriz bakal dijawab Exco Kerajaan Negeri berkaitan dengan mudah dalam sesi penggulungan yang dijangka berlangsung esok, hari terakhir sidang Dun.
Malah katanya, isu cadangan Mukhriz yang mahu mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar sepatutnya tidak timbul dan ia sebenarnya bertentangan dengan undang-undang tubuh negeri Kedah.
"Kita takdak dalam undang-undang tubuh (negeri Kedah) untuk melantik Timbalan (Menteri Besar).
"Tapi takdak masalah sekarang, Menteri Besar sekarang sudah sihat untuk kembali bertugas seperti biasa," katanya lagi.
Justeru itu kata Adun Pantai Merdeka itu, pihak pembangkang bagaikan ketandusan isu untuk diketengahkan di sidang Dun tersebut dengan mengutarakan isu remeh yang mudah ditangani oleh pihak kerajaan negeri.
"Depa dah takdak isu sebenarnya," tegasnya.
Sidang Dun Kedah hari ini masuk hari yang ketiga membahaskan titah Tuanku Sultan Kedah dan dijangka bakal berakhir petang esok selepas ucapan penggulungan dilakukan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
-Kedahnews.com
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment