Thursday, 25 August 2016

Mahathir Minta Maaf Hilangkan Kuasa Agong

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu berkata Akta MKN bukan merupakan undang-undang yang tidak memerlukan perkenan istana.


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta maaf di atas tindakannya pada 1993 meminda Perlembagaan Malaysia supaya perkenan raja-raja tidak lagi diperlukan dalam mewartakan sesebuah undang-undang yang diluluskan Parlimen.

Ia susulan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diwartakan dan menjadi undang-undang mulai 1 Ogos lalu walaupun tanpa mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya dengan penuh ikhlas memohon maaf kerana membuat pindaan tersebut yang terbuka kepada tafsiran yang berbeza,” kata bekas perdana menteri itu dalam tulisan terbaru blognya.

Bagaimanapun, beliau berkata Akta MKN yang dilihat memberikan kuasa seakan-akan darurat kepada perdana menteri itu bukan termasuk undang-undang yang tidak memerlukan perkenan Agong.

“Pindaan tersebut [pada 1993] tidak melucutkan lebih 30 perkara lain di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, terdapat lebih 30 perkara tersenarai dalam perlembagaan yang memerlukan kelulusan Agong tanpa perlu mendapatkan nasihat perdana menteri seperti dalam penggubalan undang-undang lain.

Katanya, kuasa berupa darurat di bawah Akta MKN sudah pun termaktub di bawah perlembagaan yang memberikan kuasa itu sepenuhnya kepada Agong seperti diperincikan di bawah Artikel 150 Perlembagaan Malaysia.

“Untuk Akta ini diluluskan sebagai undang-undang persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih diperlukan,” tulis Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata Agong boleh menggunakan peruntukan di bawah Perkara 130 Perlembagaan Malaysia dengan mencabar kesahihan Akta MKN.

“Peruntukan ini memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan jika terdapat kesangsian terhadap kesahihan ataupun ketidaksahihan Akta Majlis Keselamatan Negara yang tidak pun mendapat persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Akta MKN diluluskan Disember tahun lalu apabila 107 ahli Parlimen bersetuju, manakala 77 lagi menolak.

Ketika dibentangkan tahun lalu, Majlis Raja-raja berpendapat beberapa peruntukan dalam rang undang-undang MKN perlu diperhalusi. Bagaimanapun, ia diwartakan tanpa mendapat perkenan Agong, berdasarkan pindaan 1993 yang diusahakan Dr Mahathir.

Akta yang berkuat kuasa pada 1 Ogos itu membolehkan perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.

Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.

Pindaan perlembagaan 1993 berlaku susulan krisis berpanjangan dengan istana selepas insiden seorang jurulatih hoki, Douglas Gomez, dikasari Sultan Johor ketika itu, Sultan Iskandar Sultan Ismail dan puteranya Tunku Abdul Majid Idris.

Ia terus mencetuskan isu mengenai kekebalan raja-raja di bawah undang-undang sedia ada, dan disusuli media melaporkan pelbagai penyelewengan di pihak istana. - FMT



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP