Saturday, 13 August 2016

Musa Dedah Bagaimana Umno Urus Derma Politik Era 70-an



PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata Umno satu ketika dulu amat teliti dalam penerimaan derma politik sehinggakan penderma berasa tidak selesa ketika diberitahu tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Menulis dalam buku Frankly Speaking yang mengisahkan pengalaman sepanjang karier politiknya, Musa yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno pada awal 1970-an kerap berjumpa timbalan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, yang terkenal dengan ketegasan menguruskan wang.

Katanya, sebaik sahaja tarikh pilihan raya diumumkan, Umno akan mengumumkan parti itu bersedia menerima sumbangan kewangan bagi membiayai kempennya.

“Peraturan asas Tun Ismail ialah setiap sumbangan, termasuk dari sektor swasta, mesti diisytiharkan dan tidak boleh diterima secara peribadi,” kata Musa, yang menganggap dirinya seorang jahil dalam soal mendapatkan dana bagi parti, walaupun ketika itu menjawat timbalan menteri perdagangan dan industri di bawah pentadbiran perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein.

Katanya amalan itu diteruskan pada era pentadbiran Tun Hussein Onn, perdana menteri ketiga menggantikan Razak.

“Malah, Tun Hussein Onn mungkin lebih teliti,” tulis Musa.

“Zaman itu, ketirisan dan salah guna dapat dielakkan.

“Malangnya, prosedur sedemikian tidak lagi menjadi amalan biasa pada hari ini.”

Musa pernah dibuang parti sebelum kembali semula ke dalam Umno di bawah pentadbiran Razak, yang dibantu timbalannya Ismail.

Ismail memegang jawatan nombor dua itu selama tiga tahun sebelum meninggal dunia pada 1973.

Menceritakan lanjut, Musa berkata setiap sumbangan diterima Umno mesti ada saksi yang mengesahkan jumlah yang diterima, sebagaimana dituntut Ismail yang amat teliti dengan setiap sen diterima parti.

“Selalunya saya yang menjadi saksi tersebut, dan kerap kali membawa masuk orang lain termasuk setiausaha politik saya, Shahrir,” kata beliau merujuk Ahli Parlimen Johor Bahru Datuk Seri Shahrir Abdul Samad.

Musa menceritakan bagaimana penderma yang berjumpa Ismail merasa tidak selesa dengan sikap lantangnya.

“Beliau akan bertanyakan mereka tujuan mereka berkunjung,” tulis Musa.

Apabila diberitahu mereka ingin membantu Umno, Ismail akan menyoal lagi, “Dan mengapa kamu mahu memberikan sumbangan ini?”

“Semua ini berlaku di depan mata saya. Banyak kali saya terperanjat. Tanpa berlapik, Tun Dr Ismail memberitahu penderma yang mereka tidak boleh mengharapkan sesuatu balasan daripada kerajaan walaupun membuat sumbangan.

“Kata beliau, ‘Jangan harap mendapat pertolongan, lesen atau kontrak. Kamu memberi sumbangan kerana mahukan kerajaan stabil, dan ini kami boleh berikan, supaya membantu perniagaan kamu dan pembangunan ekonomi negara’,” tulis Musa memetik Ismail.

Begitu juga, setiap aliran wang masuk untuk parti direkodkan, kata Musa.

“Kami mengeluarkan resit dengan jumlah dinyatakan secara jelas,” katanya, dan menambah ketilitian pengurusan sumbangan parti itu diteruskan oleh Tun Dr Hussein Onn.

Buku “Frankly Speaking” setebal 443 muka surat itu dilancarkan Sultan Nazrin Shah, Rabu lalu.

Musa menamatkan karier politiknya pada 1986, selepas meletak jawatan sebagai timbalan kepada perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP