KUALA LUMPUR: Masih ingat dengan mahasiswa wanita yang lantang memperjuangkan hak pendidikan percuma di depan Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) Sharifah Zohra Jabeen, dalam satu majlis tiga tahun lalu?
Video “Listen, listen, listen” yang dilaungkan menjadi bualan masyarakat sejak 2013 sehingga ditonton sebanyak 1, 403, 455 kali di YouTube.
Pemilik nama K S Bawani kini bergelar peguam setelah berjaya menamatkan sesi chambering (latihan dalam kamar) selama sembilan bulan di sebuah firma guaman di Ipoh.
Memperoleh ijazah undang-undang dari Universiti Utara Malaysia, ia merupakan ijazah keduanya selepas mempunyai ijazah dalam bidang psikologi.
Ibunya Suppamah Ramasamy berkata beliau amat berbangga dengan pencapaian Bawani.
Ketika ditanya adakah Bawani berminat menceburi bidang politik, Suppamah berkata fokusnya kini hanya mahu menjadi peguam.
“Beberapa kali dia diajukan soalan sama ada berminat menceburi bidang politik atau tidak. Buat masa sekarang tidak. Mungkin pada masa akan datang, dia berminat.
“Dia mahu menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat dengan menegakkan kebenaran bagi sesiapa yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Katanya, pengalaman menjalani chambering banyak mengajar Bawani untuk menjadi peguam berkredibiliti.
Anak ketiga daripada lima beradik yang juga aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu akan terus memperjuangkan hak untuk mendapatkan pendidikan percuma di negara ini.
“Menerusi PSM, Bawani akan terus memperjuangkan untuk mendapatkan hak pendidikan percuma, bukan untuk dirinya tetapi untuk pelapis negara pada masa akan datang,” kata ibunya.
Pada masa sama, Bawani akan ‘turun padang’ membantu pembukaan cawangan PSM Kampar September ini.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment