Friday, 26 August 2016

Rasuah Kondo: Kes Terbesar, Lagi 30 Pegawai DBKL Disiasat



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil 30 lagi kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ekoran penahanan seorang pengarah jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Mereka, lapor The New Straits Times, dipercayai bersekongkol dengan seorang Datuk Seri yang sedang disiasat SPRM dengan menyalahgunakan kedudukan mereka dalam DBKL.

Memetik kenyataan Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki, laporan itu mendakwa suspek - terdiri daripada pelbagai peringkat jawatan - memaksa pemaju perumahan memberikan unit kondominium percuma kepada mereka sebagai balasan meluluskan sesuatu projek.

Kediaman yang diperoleh tanpa bayaran itu kemudian dijual pada harga lebih tinggi.

"Siasatan kami mendapati tidak kurang daripada 30 pegawai DBKL memperoleh unit kondominium melalui rasuah tanpa membuat sebarang bayaran pendahuluan.

"Modus operandi mereka agak canggih. Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian jual beli tanpa membuat sebarang transaksi kewangan dan kediaman itu kemudian dijual pada harga pasaran sebaik saja projek itu disiapkan," katanya dipetikNST hari ini.

Akhbar itu melaporkan amalan rasuah berkenaan mungkin antara yang terbesar pernah melibatkan sebuah PBT di negara ini.

Berani minta habuan sendiri

Malaysiakini pada 15 Ogos lalu melaporkan SPRM menahan tiga penjawat awam termasuk seorang berpangkat Datuk Seri seorang lagi bergelar Datuk atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram.

Susulan penahanan tersebut, SPRM memberitahu akaun milik ketiga-tiga individu itu yang melebihi RM13 juta dibekukan.

Ekoran siasatan dibuat pihak berkuasa Datuk Seri terbabit di­percayai memiliki 31 unit kondominium mewah di ibu kota bernilai lebih RM15.5 juta.

Suspek kini berada dalam tahanan reman sehingga 27 Ogos.

Memetik sumber Utusan Malaysia melaporkan unit itu kononnya dibeli daripada lima pemaju projek perumahan yang berurusan dengan DBKL.

Setiap unit kondominium itu pada asalnya berharga antara RM200,000 hingga RM300,000 dan ia dijual semula pada harga kira-kira RM500,000 setiap satu.

NST melaporkan Azam memberitahu suspek bergelar Datuk Seri itu adalah punca utama berlakunya amalan rasuah berleluasa.

Malah kata Azam ada pegawai terbabit begitu berani untuk menghubungi pemaju perumahan untuk menuntut diberikan unit kondominium seperti ketuanya walaupun syarikat terbabit tidak ada kaitan dengan mereka.

"Sesetengah suspek tidak berurusan secara langsung dengan pemaju tetapi selepas tahu bos mereka mendapat sesuatu, mereka juga mahukan habuan sendiri.

"Ia berlaku kerana pegawai atasan mereka adalah sebahagian daripada rangkaian berkenaan," katanya dipetik NST.

Azam juga berkata pemaju perumahan yang terlibat dalam amaran berkenaan tidak terkecuali daripada siasatan SPRM.

"Kami sedang mengenal pasti pembabitan setiap mereka," katanya yang memberitahu ada sekurang-kurangnya tiga pemaju terlibat.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP