Saturday, 27 August 2016

Himpunan Tangkap MO1 Tetap Meriah Walaupun Tanpa PAS '



3.15pm Dataran Merdeka: Sementara menunggu kehadiran peserta dari Masjid Negara dan pusat beli-belah peserta himpunan yang berada di Dataran Merdeka cuba menghangatkan suasana dengan melaungkan 'Tangkap Najib'.

Malah, salah seorang peserta himpunan dari Johor Bharu Rosli Kemin, 50 tahun mempersoalkan kenapa kerajaan masih berdiam diri ketika Jabatan Kehakiman AS mendedahkan salah laku kepimpinan Najib.

"Isu ini telah didedahkan oleh DOJ sebuah badan yang boleh dipercayai jadi kenapa kerajaan Malaysia masih pekakkan telinga," tegas Rosli.

Rosli yang tiba sekitar jam 8.00 pagi di Masjid Negara hari ini tiba bersama 40 peserta lain dengan menaiki bas.

Menurut Rosli kehadiran beliau hari ini sebagai tanda sokongan serta ketidakpuasan hatinya sebagai rakyat

"Kita datang sokong himpunan ini dan meramaikan supaya himpunan ini berjaya. Kehadiran saya juga untuk lahirkan perasan tak puas hati kerana pemimpin kita banyak rasuah.

"Kita juga malu satu dunia dah tahu pemimpin kita tak bermoral, malukan rakyat dan negara," kata Rosli.

Kata-kata Rosli itu disambut dengan laungan "Tangkap Najib, jangan tangkap rakyat" sebanyak tiga kali.

Kumpulan Masjid Negara hampiri Dataran

3.12pm Persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Parlimen: Kumpulan daripada Masjid Negara kini telah berada berhampiran Dataran Merdeka.

Mereka melalui Jalan Raja, Jalan Parlimen dan seterusnya ke Jalan Tun Perak bagi bertemu dengan kumpulan dari Sogo.

Ketika ini pihak polis turut menjaga lalu lintas bagi memastikan kelancaran jalan raya.

Antara pimpinan politik yang turut mengikuti perarakan dari Masjid Negara ialah Tian Chua dan Nik Nazmi.

Ketika ini, seramai lebih seribu orang telah mula berkumpul di kawasan ini.

Sementara itu, sedikit kekecohan sesama mereka sendiri berlaku apabila kumpulan mahasiswa dan Angkatan Muda Keadilan tidak puas hati sesama mereka.

Perkara menjadi lebih kecoh apabila keadaan di antara Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut sesak dengan orang ramai serta kenderaan yang membawa beberapa pimpinan pelajar.

Bagaimanapun keadaan kini kembali terkawal selepas pihak polis mula membantu menyuraikan keadaan dan melancarkan lalu lintas.

Berarak ke Dataran

2.55pm Jalan Tuanku Abdul Rahman: Kumpulan dari Sogo membanjiri sebahagian jalan.

Diiringi paluan deram dan alat muzik serta nyanyian dan slogan, mereka dipimpin oleh Skuad Keadilan Pemuda PKR (AMK) yang membentuk benteng manusia di depan.

Sebelum itu kelihatan seorang anggota polis memberi amaran kepada Anis Syafiyah. Peserta bagaimanapun tetap berarak.

2.50pm Sogo: Anis Syafiqah umumkan bahawa mereka akan mula berarak ke Dataran Merdeka. Orang ramai bergerak sambil melaungkan slogan “Hidup Rakyat”.

2.50pm Dataran Merdeka: Kira-kira 30 orang kelihatan berkumpul di luar Restoran Rohani dekat Dataran Merdeka dengan pelbagai jenis poster mengecam MO1.

Tak endah arahan bersurai dari polis

2.45pm Masjid Negara: Kira-kira 300 orang yang telah berkumpul di Masjid Negara sejak jam 1.45 petang tadi telah mula berarak ke Dataran Merdeka.

Sebelum mereka berarak, wakil kepada Ketua Polis Dang Wangi ASP Mohd Zain memberi amaran supaya pihak yang berkumpul bersurai.

Mohd Zain berkata, protes jalanan merupakan tindakan yang menyalahi undang-undang.

"Saya wakil polis Dang Wangi ingin memberi amaran, mana-mana penganjuran perhimpunan atau protes jalanan menyalahi kesalahan.

“Justeru saya mohon kepada semua bersurai," kata Mohd Zain.

Bagaimanapun, arahan berkenaan tidak diendahkan.

Mereka kini berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Raja.

Ketika berarak mereka melaungkan "Hidup Rakyat" dan "Tangkap MO1".

Ada antara mereka menaiki lori untuk mengetuai perarakan dari Masjid Negara.

2.40pm-SOGO: Di samping hitam-putih yang menjadi warna rasmi himpunan, kelihatan juga bendera pelangi yang melambangkann perjuangan hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dikibar.

Seorang wanita Ng Xiang Yi yang memegang bendera itu memberitahu Malaysiakini beliau menyokong himpunan hari ini tetapi berharap isu gender juga dapat diberi perhatian.

“Kita harap lebih ramai orang bersuara (dalam isu gender),” kata Ng Xiang Yi.

2.30pm Dataran Merdeka: Lebih 500 anggota polis difahamkan diarah berkawal di sekitar Dataran Merdeka bagi menjaga keamanan sepanjang himpunan #TangkapMO1 berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Malah sehingga jam ini kira-kira 50 orang peserta himpunan mula berkumpul di persimpangan Jalan Parlimen dan Jalan Raja.

Di ruang udara pula dua buah helikopter berlegar-legar memantau persekitaran bandar Kuala Lumpur.

Menurut salah seorang anggota polis yang ditemui beliau bersama pasukannya telah tiba di Dataran Merdeka seawal jam 9.00 pagi.

- mkini

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP