Thursday, 13 April 2017

Hishammuddin Disediakan Laluan, Ahmad Zahid Makin Terkuis, Kata Penganalisis


Apa pun pertimbangan Datuk Seri Mohd Najib Razak (tengah) meletakkan sepupunya dengan peranan baru itu, perbualan politik di seluruh negara jelas melihat ia sebagai persediaan dan laluan untuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) diberikan jawatan Perdana Menteri .

Penganalisis politik Shahbudin Husin mendakwa perlantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri akan mengugat kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Tidak mustahil dalam pilihan raya akan datang, Hishammuddin akan diberi lebih peranan berbanding Zahid Hamidi bagi memperlihatkan prestasi awal kemampuannya sebagai calon pengganti.

"Nampaknya Zahid kini bakal menjadi seorang lagi Timbalan Perdana Menteri yang perjalanan politiknya terkandas di pertengahan di tengah jalan dengan cita-cita menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian," ujarnya dalam catatan diblognya hari ini.

Bekas ahli Umno ini berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, apabila mengumumkan perlantikan sepupunya, Hishammuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri yang masih menjawat Menteri Pertahanan itu, akan membolehkan sepupunya itu menjalankan tugas selain daripada tanggungjawab beliau sebagai Menteri Pertahanan.

Bagaimanapun Shahbudin mempersoalkan bentuk tugasan yang mungkin akan menanti Hishammuddin di Jabatan Perdana Menteri itu kelak?

"Apa kemahiran dan kelayakan khusus Hishammuddin yang membuatkan beliau perlu sangat diberi peranan tambahan di Jabatan Perdana Menteri itu?

"Selain Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Jabatan Perdana Menteri sekarang in sudah pun mempunyai sembilan menteri iaitu Jamil Khir Baharom, Shahidan Kassim, Azalina Othman Said, Abdul Rahman Dahlan, Joseph Kurup, Joseph Entulu, Nancy Shukri, Paul Low dan Wee Ka Siong.

"Dengan perlantikan Hishammuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khasnya, kepadatan jumlah menteri di Jabatan Perdana Menteri meningkat kepada 10 orang.

"Dicampur dengan Najib dan Zahid Hamidi, jumlahnya kini menjadi 12 orang.

"Woww...meriahnya sehingga boleh ditubuhkan pasukan bolasepak yang pemainnya semua menteri-menteri belaka!" ujarnya.

Shahbudin juga menelah apa pun pertimbangan Najib meletakkan sepupunya dengan peranan baru itu, perbualan politik di seluruh negara jelas melihat ia sebagai persediaan dan laluan untuk Hishammuddin diberikan jawatan Perdana Menteri dalam waktu yang terdekat ini.

"Hakikatnya, tiada keistimewaan langsung untuk Hishammuddin diberikan peranan tambahan itu, selain untuk memberinya laluan mengambil alih tempat Najib.

"Jika lulusan guamannya diambil kira, Jabatan Perdana Menteri sudah pun ada Azalina dengan kelulusan yang sama. Kalau dari segi populariti pula, Hishammuddin hanya di tangga ketiga dalam pemilihan Naib Presiden Umno yang lalu di belakang Zahid Hamidi dan Shafie Apdal, bahkan undi popular Mukhriz Mahathir di tempat keempat lebih tinggi daripadanya.

"Dirasakan cukup yakin bantuan Pas akan membolehkan BN terus berkuasa, Najib dipercayai akan mengundurkan diri selepas PRU 13 untuk meredakan ketegangan yang mungkin terus berpanjangan selepas pilihan raya nanti.

"Di mana selepas itu Hishammuddin yang dijadikan Perdana Menteri akan berperanan memastikan abang sepupunya itu dapat bersara dengan aman dan tenteram tanpa sebarang gangguan.

"Ia sekaligus mengesahkan bahawa Najib tidak mempercayai, jauh sekali meyakini Zahid Hamidi untuk mengambil alih tempatnya dan dengan perlantikan Hishammuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas yang mungkin disertai dengan beberapa tugas penting selepas ini, peranan Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) akan perlahan-lahan dikuis ke tepi," ujarnya.

Hari ini Bernama melaporkan  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan berkenaan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Hishammuddin masih kekal sebagai Menteri Pertahanan.

"Pelantikan ini akan membolehkan YB Datuk Seri Hishammuddin menjalankan tugas selain daripada tanggungjawab beliau sebagai Menteri Pertahanan," katanya seperti dilaporkan.

Hishamuddin dilantik Menteri Pertahanan pada 2013 sebelum itu menjawat Menteri Belia dan Sukan (1999-2004) dan Menteri Dalam Negeri (2009-2013). Beliau pernah memangku jawatan Menteri Pengangkutan pada 2013-2014.


- Malaysia Dateline



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP