Thursday 20 April 2017

PAS Miskin Tapi Pemimpin Berkereta Mewah


PETALING JAYA: Seorang bekas ahli Parlimen PAS berkata terdapat pemimpin PAS bermewah-mewah dengan kereta mahal sedangkan ahli akar umbi tidak mempunyai dana cukup untuk menguruskan cawangan di kawasan pedalaman dan pinggir bandar.

“Tetapi keadaan orang atasan tidak seperti itu. Mereka ada wang. Bila PAS berhimpun, tengok sahaja barisan kereta mewah dan pacuan 4 roda. Kereta import dipamerkan seolah pameran kereta.

“PAS hari ini bukan seperti PAS dulu,” kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin, kepada FMT.

Raja Bahrin yang kini sebahagian Amanah, mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Idris Ahmad yang menolak saranan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini yang mahu pimpinan parti Islam itu menyiasat sama ada ia menerima dana 1MDB.

Rafizi pada 13 April mendakwa bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa, pernah menerima sebahagian wang berkait 1MDB yang sebelum ini didakwa mengalir masuk ke dalam akaun perbadi Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

“PAS perlu kembali semak pastikan tidak ada 1 sen pun wang 1MDB kerana rapatnya Dr Nasharudin Isa dengan tokoh-tokoh yang masih mahu menggabungkan Umno dan PAS,” kata Rafizi. Nasharudin menafikan tuduhan itu dan menganggapnya fitnah.

Susulan itu, Idris berkata PAS tidak pernah menerima wang 1MDB, menyifatkan parti itu kesempitan wang.

“Kita pun ‘sengkek’ (tiada wang) hingga bil elektrik hampir dipotong, kalau ada duit kita tak jadi begitu,” beliau memberitahu FMT.

Raja Bahrin berkata sekiranya benar PAS sukar menjelaskan bil elektrik, pemimpin parti itu boleh membuat pengorbanan dengan menjual salah sebuah kereta mewah mereka

“Pemimpin juga perlulah menyumbang sama. Mereka menunjuk-nunjuk kemewahan secara terbuka. Itu bukan lagi rahsia.”

Beliau menasihatkan pemimpin PAS supaya kembali kepada semangat lama menyokong parti.

“Semasa saya berada dalam PAS, kami menyumbang 90% pendapatan dari Parlimen kepada parti.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata Idris perlu mengesahkan sama ada partinya menerima wang dari Nasharudin.

“Dari pengalaman saya berada dalam jawatankuasa pusat, tidak semua diberitahu kepada kami. Maklumat tertentu diberitahu kepada orang tertentu.

“Dia atau Hadi (presiden PAS) pertama sekali perlu mengesahkan dakwaan Rafizi. Jika terbukti benar, dia (Idris) perlu selidik kemana wang itu pergi dan mengapa.”







PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP