Tuesday, 4 April 2017

Pengusaha Nasi Lemak Pondan Buang Bulu Mata Palsu, Pemerah Pipi


PETALING JAYA: Kini tiada lagi bulu mata palsu, bedak asas, pemerah pipi mahupun gincu dipakai pengusaha Nasi Lemak Pondan ketika berniaga di gerainya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Malah transgender, Jojie Kamaruddin juga tidak lagi memakai blaus atau baju kurung, sebaliknya hanya berkemeja-T dan seluar panjang semasa berurusan dengan pelanggan.

Bercakap kepada mStar Online, Jojie berkata, perubahan secara berperingkat itu selepas mengambil kira teguran dan nasihat pelbagai pihak apabila perniagaan Nasi Lemak Pondan yang diusahakan sejak bulan lalu mencetuskan kontroversi.

Ini kerana kata Jojie, niatnya mahu mencari sumber pendapatan halal, bukan mempengaruhi orang ramai terutama pelanggan untuk menjadi pondan.

"Ya, saya tidak lagi 'make-up'. Kalau ada pun setakat celak dan pelembap bibir. Ini adalah perubahan diri saya selepas mengambil kira teguran dan nasihat orang ramai supaya berpenampilan lebih sopan.

"Bila tak 'make-up', orang ingatkan saya tak sihat pula. Tapi biarlah, sebab saya nak orang datang ke gerai untuk beli nasi lemak, bukan kerana penampilan saya," kata Jojie secara bersoloroh.

Jojie yang mengusahakan perniagaan itu bersama ibu dan empat beradiknya itu bagaimanapun berkata, setakat ini beliau tidak bercadang untuk mengubah nama Nasi Lemak Pondan kepada nama yang lain.

"Bagi saya, pondan itu sekadar nama. Saya mahu mengubah persepsi masyarakat bahawa bukan semua pondan itu menjual diri atau melakukan maksiat.

"Tetapi mereka juga mahu menjadi seperti orang lain yang mencari sumber pendapatan halal, misalnya saya menjual nasi lemak," katanya yang mengakui sebelum ini sukar untuk mendapat pekerjaan kerana diskriminasi masyarakat.

Malahan, anak ke lapan daripada 15 beradik itu berkata, perniagaan yang dijalankan bersama ahli keluarganya itu sekurang-kurangnya dapat menyara kehidupan mereka.

Sabtu lalu, mStar melaporkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, promosi jualan menggunakan perkataan yang menjurus kepada golongan homoseksual seperti pondan dan gay adalah haram kerana ia bertentangan dengan Islam.

Selain itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad pula menyifatkan penggunaan nama pondan dan gay dalam penjualan nasi lemak sebagai sindiran sinis kepada ajaran agama Islam.


Sementara itu, pengusaha Nasi Lemak Gay, Adi Yusuf memberitahu dia akan menukarkan nama gerainya apabila perniagaannya beroperasi semula minggu depan.

"InsyaAllah, saya akan kembali berniaga sebab saya perlukan pendapatan untuk sara hidup.

"Tetapi saya tidak lagi guna nama Nasi Lemak Gay. Mungkin saya sekadar guna nama Nasi Lemak Adi Yusuf," katanya.

Sebelum ini, Adi terpaksa menghentikan sementara perniagaannya selepas menerima ugutan akan disimbah asid selain mendapat kecaman hebat pelbagai pihak.

Bagaimanapun dia menjelaskan bahawa Nasi Lemak Gay bukanlah bermaksud lelaki gay atau homoseksual, sebaliknya ia adalah singkatan kepada Gerai Adi Yusuf.

"Alhamdulillah, saya tidak lagi menerima kecaman, sebaliknya sekarang adalah kata-kata sokongan meminta saya supaya kembali berniaga," kata Adi.

- mstar





PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP