PETALING JAYA: Pelantikan mengejut Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas semalam turut mendapat perhatian Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas menteri penerangan yang kini lantang mengkritik pentadbiran Umno.
Zainuddin atau dikenali sebagai Zam itu menerusi Twitter memuat naik kiriman sinis mengenai pelantikan itu, yang menguatkan spekulasi ada usaha daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Tahniah keberanian Najib,” kata Zam.
“Apapun alasan diberikan PM, namun pandangan ramai tiada kepercayaan penuh Najib pada Zahid. Ia mematahkan semangatnya.”
Kiriman Twitter itu turut memuatkan gambar Zam bersama Zahid.
Rata-rata penganalisis politik semalam melihat pelantikan Hishammuddin itu sebagai petanda buruk masa depan politik Zahid.
Dr Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata pelantikan itu mesej jelas yang menteri pertahanan itu, yang juga merupaka sepupu kepada Najib, sedang disesuaikan untuk mengambil alih jawatan timbalan perdana menteri daripada Zahid.
“Ini juga merupakan cara perdana menteri menguji reaksi ahli Umno lain dan juga komponen Barisan Nasional selain melihat reaksi rakyat Malaysia,” katanya.
Hishammuddin bagaimanapun menafikan motif politik di sebalik pelantikan itu.
“Jangan ada pihak cuba melaga-lagakan kita. Kita teruskan (tugas) berbanding melayan pihak yang tidak pernah setuju dengan kita,” katanya.
Padan muka
FMT difahamkan pengumuman pelantikan itu juga hanya diketahui beberapa ahli kabinet pada hari sama.
Zam berkata Zahid sedia maklum kesan pelantikan Hishammuddin, sambil berkata beliau dapat membaca apa akan berlaku seterusnya.
Namun, Zam membayangkan tidak banyak yang dapat dilakukan Zahid.
“Bila Hishammuddin dilantik jadi menteri tugas khas di JPM, reaksi umum ialah padan muka Zahid. Apa pun Zahid dah terlewat,” tambahnya.
Pelantikan menteri tugas khas bukan sesuatu yang baru, dan pernah berlaku sebelum ini termasuk di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada 1998, bekas menteri kewangan dibawa masuk ke dalam kabinet sebagai menteri tugas khas, dalam apa yang dilihat cara Dr Mahathir meminggir menteri kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tiga bulan selepas pelantikan Daim, Anwar dipecat daripada kerajaan dan parti.
- FMT
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment