Tuesday 25 April 2017

Impian Hadi Untuk Jadi PM Bakal Berakhir


Walaupun suara rasmi Umno, Utusan Malaysia, cuba menggambarkan kerjasama PAS - UMNO untuk menghadapi pilihan raya parlimen ke-14, tetapi itu hanyalah indah kabar daripada rupa.

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang meminta izin kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya membenarkan parti itu bertanding di 80 kerusi parlimen sudah cukup menggambarkan keadaan sebenar.

Hubungan PAS dan Umno hanyalah antara presiden dengan presiden (Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang), tetapi tidak di akar umbi yang sedar bahawa kedudukan Najib berada di hujung tanduk.

Kini telah tiba masa yang ditunggu oleh PAS sejak sebelum merdeka untuk mengakhiri kuasa Umno.

Penantian PAS untuk menjadi perdana menteri akan berakhir pada pilihan raya umum ke 14.

Berasaskan kepada kajiannya, PAS sedar bahawa ia berada pada kedudukan yang lebih kuat berbanding Umno di seluruh negara, dan pergantungan parti-parti lain kepadanya untuk menggulingkan kerajaan BN.

Suasana jauh berbeza

Maka itu Tuan Ibrahim dengan lantang dan tegas meminta parti-parti pembangkang lain tidak melawan PAS di 80 kawasan parlimen.

Bererti PAS mahu hanya parti itu diberi peluang untuk mencabar BN secara satu lawan satu.

HARAPAN bolehlah bertanding di kawasan yang berbaki dan menubuhkan kerajaan bersama PAS.

Tuan Ibrahim memberi amaran jika PAS dicabar di 80 kawasan itu, maka ia akan melawan sekalipun PKR atau AMANAH, apatahlagi DAP.

Tetapi bagaimana dicabar Umno?

Walaupun ada yang berpendapat cabaran ini bersifat takbur, kerana dulu pun PAS tidak boleh menang di 80 kawasan, tetapi harus diingatkan, suasana politik sekarang sudah jauh berbeza.

Kehilangan keyakinan rakyat kepada kepimpinan Najib semakin parah.

PAS sedar bahawa apa juga serangan kerajaan Najib kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ia menguntungkan PAS dan memburukan lagi kedudukan Umno terutama di kalangan rakyat di luar bandar yang mengalami kesulitan hidup sekarang dan tidak dirasakan pada zaman Dr Mahathir.

Maka itu walaupun Dr Mahathir telah membuat kenyataan keras dalam soal hubungan dengan PAS, tetapi Tuan Ibrahim masih membuka pintu rudingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipengerusikan bekas perdana menteri itu.

Malah dalam kenyataannya beliau berkata, "kami menunggu kestabilan parti BERSATU dan pintu rundingan masih terbuka".

Umno - yang pada pandangan umum melukut di teping gantang - kepada PAS lebih banyak mengalami kerugian politik dalam hubungan dengan PAS sekarang.

Umpamanya kehilangan sokongan bukan Melayu kerana memenuhi kehendak PAS untuk meminda Akta 355 dan membenarkan pendakwah India, Zakir Naik, campurtangan dalam masalah sosial dan agama di negara ini.

Di samping itu Umno Kelantan menghadapi masalah tidak boleh meyerang PAS kerana dasar tersembunyi hendak berbaik-baik dengan Umno sedangkan PAS terus menyerang kubu-kubu Umno di negeri itu.

Tidak nampak kejujuran dalam hubungan PAS dengan Umno, sebaliknya apa yang berlaku ialah "PAS menggunting dalam lipatan, pepat di luar rencong di dalam."

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Artikel ini dimuatkan kali pertama pada dalam blog beliau.




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP