Perwakilan PAS dari Johor hari ini mencadangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dipilih sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Mohd Nazari Mokhtar berkata, pelantikan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah satu rahmat daripada Allah SWT.
"Seorang yang mencerminkan akhlak seorang Islam, seorang yang beramal, mempunyai akidah tinggi dihantar Allah untuk menjadi ketua di Malaysia.
"Jadi kita sama-sama mendoakan supaya tuanku mendapat seorang penasihat yang wataknya juga serupa dengan baginda," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden PAS sempena Muktamar PAS ke-63, di Alor Setar.
Sultan Muhammad V ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi tempoh lima tahun mulai pada 24 April lalu.
Mohd Nazari sempat memetik kata-kata Abdul Hadi bahawa parti itu bukanlah sangat berkeinginan ke Putrajaya, sebaliknya mahu menjadi penasihat kepada ulil amri(pemerintah).
"Tuanku pakai jubah pergi masjid, agak-agak siapa yang sesuai jadi penasihat? Ulama yang paling sesuai. Jadi saya mahu petik ucapan Datuk Seri presiden, kita bukan nak ke Putrajaya sangat, yang kita nak adalah menjadi penasihat kepada ulil amri.
"Siapa pemerintah nombor satu negara kita, seri paduka baginda.
"Jadi penasihat yang paling sesuai kepada baginda ialah presiden kita, pemimpin ulama nombor dua di dunia," katanya yang disambut laungan takbir para perwakilan.
Tambahnya, latar belakang Abdul Hadi sebagai salah seorang pemimpin ulama dunia sentiasa mendapat perhatian umum.
"Apabila seorang pemimpin ulama nombor dua berbangsa Melayu, bercakap dalam bahasa Melayu, bukan saja difahami oleh kita dalam dewan ini, tetapi seluruh nusantara.
"Saya nak mengingatkan setiap patah yang keluar daripada presiden PAS adalah perkataan seorang ulama dan perkataannya dianalisa setiap insan yang boleh berbahasa Melayu," katanya.
- mkini
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment