Saturday, 2 March 2013

PENCEROBOHAN DI LAHAD DATU: ANWAR 'DALANG, ATAU KAWALAN KESELAMATAN YANG RAPUH?

Saya masih ingat dengan jelas dalam minda saya tahun 1998 apabila Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan parti, beliau dicanangkan sebagai ajen AS. Video dan gambar Anwar yang dihampar dengan permaidani merah , bersalaman dengan menteri pertahanan AS diulang tayang berkali-kali sebagai pembuktikan bahawa Anwar adalah pembelot dan pengkhianat Negara, bersengkongkol dengan Negara asing yang kononnya mahu menguasai Malaysia dari aspek ekonomi dan politik. Anwar tidak diberikan ruang secukupnya untuk menjawab tuduhan yang berulang-ulang itu. Media memainkan isu ini sehingga Anwar ditangkap dan dipenjarakan. Begitu mudahnya Anwar dipermalukan, daripada yang pernah diangkat sebagai orang nombor dua dalam kerajaan kepada manusia yang paling hina dina di Malaysia. PROPAGANDA POLITIK.

Lewat dua minggu lepas, berlaku pencerobohan bersenjata segerombolan ‘tentera Sulu’ di Lahad Datu. Ada yang melaporkan kekuatan tentera itu mencecah 100 orang, walaupun ada media alternative yang menyangkal dan menyatakan keahlian mencecah 400 orang. Dalam insiden ini sekali lagi Anwar di kaitkan. Blog-blog pro BN/UMNO memutarkan berita bahawa Anwar telahpun sebelum itu mengadakan rundingan sulit dengan Nur Misuari di selatan Filipina yang membawa kononnya ‘kemasukan’ tentera bersenjata itu ke Sabah.

Lebih dua minggu dan sehingga artikel ini ditulis belum pun ada tanda-tanda ‘krisis’ sejarah kekuasaan kesultanan Sulu ke atas Sabah itu akan langsai dengan aman. Menteri dalam negeri Datuk Seri Hisyammuddin telahpun ‘melawat’ Lahad Datu. Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman juga mengikut jejak Hisyam. Meskipun begitu, krisis masih belum berakhir.

Semua sedia maklum dalam menjelangnya PRU 13 ini, isu atau krisis ‘tentera sulu’ di Lahad datu ini perlu ditangani dengan cukup berhati-hati. Walaupun rundingan telah selesai dan khabarnya ‘tindakan pengusiran’ akan dilakukan. Namun yang berlaku, sebaliknya, pertambahan bilangan tentera di Lahad Datu, dan sekatan jalan raya oleh pasukan keselamatan di pantai Timur beroperasi 24 jam.

Sama ada benar atau tidak , dalang adalah Anwar Ibrahim, kita perlu berlapang dada. Seharusnya satu siasatan rapi wajar dilakukan. Berikan masa dan peluang untuk ketua pembangkang ini membela diri. Jangan peristiwa 1998 berulang. Rakyat sudah tidak boleh disandiwarakan lagi. Cukup dan cukuplah.

Apa yang lebih penting dari tuduhan pembabitan Anwar Ibrahim dalam skandal tuntutan tentera sulu keatas Sabah ini tentunya menyentuh berkenaan dengan kerapuhan kawalan keselamatan perairan Negara. Mungkin agak tidak keterlaluan jika yang menceroboh perairan Negara itu dalam kapaisiti 10 hingga 20 orang barangkali tidak sangat menggemparkan rakyat Sabah. Namun jika 100 orang yang menaiki perahu pancung dengan kelengkapan senjata dan Berjaya mendarat di persisir pantai Negara, ia cukup membimbangkan kita. Begitu rapuhnya kawalan keselamatan perairan Negara sehingga sesukanya dibolosi. Begitu lemahnya bahagian risikan ketenteraan sehingga perkara ini ‘gagal’ dihidu lebih awal sebagai satu ancaman keselamatan Negara.

Seharusnya situasi ini tidak boleh berlaku kerana setiap tahun aspek keselamatan dan pertahanan Negara adalah antara yang mendapat peruntukan berbillion dari kerajaan. Pembelian Kapal Selam Secorpione yang ‘disemayamkan’ di teluk sepanggar, bukankah bertujuan untuk mengawasi perairan Negara? Bukankah TLDM begitu sensitive dengan rondaan bersama kapal-kapal perang yang canggih dan dalam keadaan siapsiaga yang tinggi?

Bagaimana tentera sulu ini boleh membolosi perairan Sabah? Jika benar ada dalangnya, maka tidak hanya Anwar yang terlibat tetapi pegawai-pegawai TLDM juga mungkin ‘bersahabat’ dengan Anwar. Bagi saya sekali lagi PROPAGANDA POLITIK di mainkan.

Marilah kita bersama menjaga keselamatan Negara tanpa adanya kepentingan politik kepartian dan individu. Keselamatan itu bukan hak kerajaan, bukan hak parti, bukan hak individu tetapi hak bersama yang perlu dipelihara dan dijaga.

http://kelapamawar.blogspot.com/2013/02/pencerobohan-di-lahad-datu-anwar-dalang.html




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP